KEGAGALAN wanita warga emas ke tempat kerja beberapa hari lalu terjawab selepas ditemui mati di rumahnya di Kampung Bintawa, Kuching, pagi semalam. Mayat Chai Mui Lian, 79, ditemui dalam keadaan mulai mereput kira-kira 10 pagi selepas pintu rumahnya dipecahkan anggota bomba yang dikejarkan ke rumah berkenaan sebaik menerima panggilan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, seorang rakan sekerjanya pergi ke rumah berkenaan untuk bertemu wanita terbabit yang tidak hadir ke tempat kerja sejak beberapa hari lalu. Katanya, rakan wanita terbabit bagaimanapun curiga selepas terhidu bau busuk selain pintu rumah berkenaan gagal dibuka.
“Laporan polis kemudian dibuat sebelum anggota bomba dipanggil untuk membantu membuka pintu rumah berkenaan. Mayat wanita terbabit ditemui dalam bilik air dan ia disahkan rakannya. Kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ng Ah Lek berkata, wanita terbabit dipercayai mati sejak beberapa hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang hampir reput.
Katanya, siasatan lanjut di lokasi kejadian tidak menemui unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. “Mayat dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya ketika dihubungi.
0 comments:
Post a Comment