‘Ankylosing spondylitis’ (AS) adalah sejenis artritis yang umumnya memberi kesan kepada tulang belakang. Ia amat menyakitkan dan boleh bertambah buruk sehingga mengakibatkan keradangan pada sendi-sendi tulang belakang.
Keradangan pada tulang belakang itu kemudian mengakibatkan kerosakan struktur yang tidak boleh dipulihkan hingga menjejaskan pergerakan pesakit yang akan memberi pengaruh besar terhadap kualiti hidup mereka.
Pesakit yang menderita AS akan mengalami simptom pada tahap yang berbeza, bermula daripada kekakuan ringan sehingga tulang belakang terkunci iaitu tulang berkenaan bercantum antara satu sama lain.
Segelintir pesakit juga akan mengalami tanda-tanda seperti demam, keletihan, hilang selera makan dan keradangan pada mata (kemerahan dan sakit), namun dalam kes yang jarang berlaku ada pesakit AS yang mengalami masalah jantung serta paru-paru.
Penyakit artritis ini biasanya menyerang orang muda yang berusia akhir remaja atau awal dewasa dan ia lebih banyak memberi kesan kepada lelaki berbanding wanita dengan anggaran nisbah 2:15.
Pakar Perunding Reumatologi Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC) Profesor Madya Dr Sargunan Sockalingam berkata, pesakit AS lazim mengalami tanda-tanda awal penyakit artritis itu pada usia awal 20-an dan mereka selalunya menganggap kesakitan dialami daripada penyakit terbabit sebagai kecederaan ketika bersukan atau salah posisi tidur.
“Sakit belakang yang dialami oleh pesakit AS sering disalah anggap dan kesakitan di bahagian tubuh berkenaan tidak sepatutnya dipandang ringan. Apa yang penting dalam mengenal pasti simptomnya ialah kesakitan akibat AS berlaku ketika seseorang itu berada dalam keadaan rehat.
“Contohnya, apabila pesakit tidur atau duduk untuk jangka masa yang lama,” katanya sempena sambutan Hari Ankylosing Spondylitis Sedunia 2018 yang dirai pada Sabtu pertama Mei setiap tahun.
Dr Sargunan yang juga Presiden Yayasan Artritis Malaysia (AFM) berkata, setakat ini penawar untuk AS masih belum ditemui, tetapi ia boleh dilegakan menerusi rawatan biologi yang didapati berkesan dan berupaya membantu pesakit untuk menjalani kehidupan normal.
“Rawatan biologi bukan saja berkesan terhadap simptom AS, malah ia terbukti berupaya mencegah perkembangan struktur sekali gus menghalang kerosakan struktur tulang belakang dan mengekalkan fungsinya.
“Bagaimanapun kos rawatan biologi mahal iaitu sekurang-kurangnya RM2,000 untuk sekali rawatan dan kemungkinan besar pesakit perlu menjalani rawatan berkenaan sepanjang hayat mereka,” katanya.
Rawatan biologi membabitkan protein yang diubah secara kejuruteraan genetik, diambil daripada gen manusia dan direka untuk merencatkan komponen spesifik dalam sistem imun yang memainkan peranan penting dalam merangsang keradangan. Ini dapat memperlahankan proses kemaraan penyakit dan pesakit dapat menjalani kehidupan normal.
Sehubungan itu, AFM melancarkan kempen ‘Will You Back Me Up’ untuk mengumpul dana bagi mengisi Tabung Ankylosing Spondylitis, baru-baru ini. Dana berkenaan akan digunakan untuk membantu pesakit mendapat akses kepada rawatan biologi dan membolehkan mereka bekerja semula serta meneruskan kehidupan normal yang produktif.
“Pihak yayasan amat memahami kepayahan yang terpaksa dilalui oleh pesakit AS. Oleh itu, kempen ini dilancarkan bagi menggalakkan masyarakat membantu pesakit dengan menghulur sumbangan ke tabung ini. Setiap wang yang diperoleh dapat membantu pesakit untuk mendapatkan semula keupayaan mereka untuk bebas bergerak dan menjalani kehidupan secara normal semula.
“Kami berazam untuk mengubah kehidupan pesakit AS menerusi pelancaran kempen ini dan masyarakat yang ingin membantu boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai tabung ini serta penyakit AS khususnya dengan melayari laman sesawang pihak yayasan iaitu http://afm.org.my/as/,” katanya.
Sakit belakang hanya satu daripada masalah yang terpaksa dihadapi kebanyakan penghidap AS setiap hari. Itu juga masalah yang sering dialami pekerja sosial, Tong Yen Yee, 32, dan penganalisis makmal kawalan kualiti, Shaiful Irwan, 27, yang mengakui AS memberi kesan besar kepada kehidupan seharian mereka.
Yen Yee berkata, penyakit artritis ini tidak mengancam nyawa pada peringkat permulaan, tetapi ia boleh memberi kesan yang amat buruk terhadap kualiti hidup pesakit sehingga mengakibatkan beliau mengalami kemurungan berikutan sukar melakukan banyak pergerakan walaupun untuk aktiviti ringan.
“Kadang-kadang kesakitan yang saya alami membuatkan saya tidak boleh tidur semalaman. Apabila keadaan ini berlarutan, ia menyebabkan saya berasa lesu pada sebelah siang kerana tidak mendapat waktu tidur yang cukup.
“Kesakitan juga bertambah teruk pada waktu Subuh. Bayangkan saya tidak boleh bangun dari katil disebabkan tulang belakang rasa kaku. Saya seperti terkunci dalam keadaan baring sehingga berjam-jam lamanya dan walaupun berjaya bangun dari katil, tetapi saya tidak boleh mandi kerana tidak dapat mencapai pili air,” katanya.
Katanya, jika penyakit artritis itu dibiar berlanjutan, kesakitan yang dialami pesakit akan menjadi semakin kerap sehingga menghalang pergerakan. Selain itu, badan pesakit menjadi bongkok dan terpaksa berbaring di katil saja.
“Pesakit AS tidak boleh ke sekolah atau bekerja setiap kali penyakit menyerang. Malangnya, ia bukan penyakit yang boleh datang dan pergi begitu sahaja kerana akan kekal bersama kita hingga ke akhir hayat.
“Oleh itu, adalah penting bagi mereka yang mengalami sakit-sakit di belakang badan disebabkan simptom AS untuk segera menjalani pemeriksaan sebelum keadaan menjadi bertambah buruk,” katanya. Katanya, AS adalah penyakit keturunan dan abangnya juga sudah mula menunjukkan tanda-tanda penyakit terbabit.
Bagaimanapun, abangnya enggan menjalani pemeriksaan kerana bimbang terpaksa membayar kos yang tinggi untuk rawatan, sedangkan dia perlu bekerja bagi menyara keluarga. Bagi Shaiful pula, komplikasi yang dialaminya membuatkan beliau menjadi murung kerana tidak mampu melakukan aktiviti harian, di samping dituduh pemalas oleh saudara-maranya.
“Mereka sering bertanya kenapa saya yang masih muda ini sering mengadu sakit belakang dan apabila diterangkan mengenai AS, mereka dakwa penyakit ini tidak wujud sebaliknya saya hanya malas dan mahu mengelak daripada bekerja.
“Inilah dilema yang saya hadapi kerana ramai yang tidak sedar mengenai kewujudan penyakit AS dan apa kesannya terhadap pesakit seperti kami. Di tempat kerja memerlukan saya mengangkat barang berat, tetapi saya tidak dapat lakukannya kerana masalah kesihatan ini.
“Oleh sebab itu saya terpaksa mengambil cuti sakit bagi meredakan kesakitan. Akibat terlalu kerap mengambil cuti sakit, saya sering disoal oleh pegawai bahagian Sumber Manusia,” katanya.
Apapun, Shaiful bersyukur kerana mempunyai adik-beradik yang memahami dan sedia membantu terutama setiap kali penyakit itu menyerang menyebabkan beliau terpaksa bergantung pada orang lain untuk bergerak seperti memerlukan bantuan untuk ke bilik air kerana tulang belakang kaku dan kesakitan menyukarkannya untuk berdiri.
Perbandingan simptom penyakit tulang belakang
1. Ankylosing spondylitis adalah artritis yang memberi kesan kepada tulang belakang mengakibatkan tulang-tulang belakang bercantum antara satu sama lain, menghilangkan kelenturannya. Apabila sifat kelenturan ini hilang, seseorang itu akan berasa sakit untuk menggerakkan atau menundukkan badan.
• Umur permulaan: Bawah 40 tahun
• Permulaan secara beransur-ansur
• Sakit berkurangan dengan senaman
• Sakit bertambah apabila berehat
• Kesakitan pada waktu malam (bertambah baik dengan pergerakan)
2. Sakit belakang mekanikal adalah masalah perubatan biasa apabila kesakitan yang dialami berpunca daripada sendi, cakera, vertebra atau tisu lembut tulang belakang.
• Umur permulaan: Setiap peringkat umur
• Kebanyakannya bermula secara tiba-tiba
• Semakin buruk apabila melakukan pergerakan
• Pulih apabila berehat
Panduan penjagaan diri pesakit AS
1. Senaman juga sebahagian rawatan penting penyakit AS untuk mengekalkan fungsi dan pergerakan sendi-sendi, di samping mengurangkan kesakitan, memperbaiki postur tubuh dan mengimbangi otot. 2. Menemui pakar terapi jasmani yang boleh membantu dalam pengurusan penyakit.
3. Buat perubahan di tempat kerja dengan mengelak melakukan pekerjaan membabitkan mengangkat barang berat, pergerakan yang berulang atau bekerja dengan mesin berat.
4. Amalkan postur yang baik untuk dapatkan kekuatan dan fleksibiliti tulang.
5. Pengambilan ubat yang tepat yang boleh mengurus kesakitan dengan baik.
6. Dapatkan tidur yang cukup bagi mengelakkan kepenatan yang boleh menambah kesakitan.
7. Kekal positif bagi mengelak kemurungan akibat penyakit
0 comments:
Post a Comment