Harus diakui bahawa pembentukan sesebuah kerajaan pasti akan datang dengan beberapa polisi baru termasuk memperkenalkan beberapa agensi bagi melicinkan perjalanan sesebuah kerajaan. Kebiasaannya, perubahan ini akan dapat disaksikan apabila pembentukan sesebuah kerajaan sebaik usai sesuatu Pilihan Raya Umum.
Perkara yang sama tidak terkecuali dengan Pakatan Harapan. Semasa tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu, ramai calon termasuk Tun Dr Mahathir sendiri mengumumkan pelbagai perubahan akan berlaku terhadap urus tadbir kerajaan sebaik sahaja Pakatan Harapan sah memegang tampuk pemerintahan.
Antara perubahan yyang akan berlaku adalah mengkaji semula pembinaan pelbagai projek mega yang dilakukan oleh kerajaan BN, BR1M, Permata Pintar, GST dan banyak lagi. Boleh dikatakan, pada ketika itu, semua projek ini akan dimansuhkan oleh Pakatan Harapan sebaik mereka membentuk kerajaan.
Namun, setelah 12 hari membentuk kerajaan, apa yang diumumkan semasa kempen Pilihan Raya Umum ke 14 lalu, masih belum dilaksanakan. Malah, pelbagai projek yang dilaksanakan oleh kerajaan BN dahulu, masih kekal berjalan seperti biasa tanpa ada sebarang usaha untuk menghentikan atau membubarkannya.
Satu per satu projek-projek ini diumumkan masih terus berjalan dengan ECRL mengalami pertambahan kos yang agak mendadak sehingga RM 11 bilion berbanding harga asalnya RM 55 bilion. Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang sebelum ini dianggap rasuah oleh Tun Dr Mahathir juga diteruskan pembayarannya seperti biasa.
Paling mengejutkan adalah pengumuman penerusan GST yang sebelum ini didakwa akan dilaksanakan pada kadar 0 peratus berbanding 6 peratus sebelum ini. Ianya boleh dianggap sebagai telah melanggar janji kempen Pakatan Harapan yang berikrar mahu menghapuskan terus GST sekiranya mereka berjaya memerintah.
Terbaru, menerusi pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, projek Permata Pintar yang diasaskan oleh Datin Seri Rosmah Mansur juga diteruskan tanpa ada sebarang penutupan dilakukan. Pengumuman ini menjadikan kesemua usaha kerajaan BN sebelum ini kekal diteruskan tanpa ada sebarang perubahan radikal dilakukan oleh kerajaan hari ini.
Ingin ditanyakan, jika kesemua usaha dan projek kerajaan BN sebelum ini diteruskan, apalah ertinya laungan perubahan yang sering dilakukan oleh Pakatan Harapan semasa tempoh berkempen untuk menjatuhkan BN? Bukankah kesemua projek ini telah memberi manfaat besar kepada rakyat sejak 3 hingga 4 tahun yang lalu sebelum rakyat termakan dengan tipu helah Pakatan Harapan?
Paling menarik adalah, pengumuman Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang menyatakan, keadaan ekonomi Malaysia cukup teguh dengan kadar pertumbuhan ekonomi negara kekal pada 5.4 peratus untuk tahun ini. Melucukan apabila semalam, setelah 10 hari kenyataan ini dikeluarkan, secara tiba-tiba hutang negara mencecah angka RM 1 trilion sedangkan jumlah asalnya hanyalah RM 686.8 bilion sahaja.
Memang agak ajaib perangkaan ekonomi kerajaan Pakatan Harapan hari ini. sebelum ini menerusi kenyataan anggota penasihat kerajaan mendakwa, ekonomi negara berada pada tahap paling kukuh dengan hutang negara masih berada pada tahap terkawal. Sepuluh hari kemudian, semuanya bertukar dengan jumlah hutang negara sudah menghampiri jumlah hutang Amerika Syarikat sendiri.
Secara kesimpulannya, tidak ada apa yang berubah sebaik Pakatan Harapan membentuk kerajaan. Boleh dikatakan, mereka memasuki setiap bangunan di Putrajaya berkenaan dengan hanya menglapkan kaki masing-masing dan meneruskan apa yang telah dirancang oleh kerajaan BN sebelum ini. Tidak ada apa yang berubah dan mereka juga tidak mampu merubah apa-apa.
0 comments:
Post a Comment