My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 21 May 2018

    Indeks KLCI Bakal Cecah 1,880



    Bursa Malaysia dijangka berada dalam aliran meningkat kepada paras 1,880 minggu depan, dipacu oleh peningkatan harga minyak mentah, dasar monetari yang akomodatif dan sentimen pengguna lebih baik. 

    Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pelaburan Hermana Capital Bhd., Datuk Dr. Nazri Khan Adam Khan berkata, pengumuman kerajaan baru-baru ini mengenai kadar sifar peratus Cukai Barang dan Per­khidmatan (GST) dijangka menambah baik sentimen pengguna serta meningkatkan kaunter pengguna.

    “Langkah GST pada kadar sifar peratus ini akan melonjakkan penggunaan swasta,” katanya di sini semalam.

    Nazri menjelaskan, harga mi­nyak mentah yang lebih tinggi, dengan minyak Brent mencecah AS$80 (RM317.60) setong pada Khamis, paras tertinggi dalam tempoh empat tahun. Ia juga akan menjadi faktor positif kepada pasaran saham tempatan khususnya kaunter minyak dan gas.

    Sementara itu beliau berkata, jaminan Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan kadar faedah yang akomodatif sudah tentu akan menambahkan lagi kestabilan kepada sentimen dalam pasaran saham tempatan. Pada peringkat luar negara, Nazrin Khan berkata, pelabur akan memantau perkembangan perbincangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

    “Perbincangan perdagangan itu diharapkan membuahkan hasil yang positif, sekali gus turut akan melonjakkan eksport negara kita,” katanya.

    Bagi minggu yang baru ber­akhir, Bursa Malaysia ditutup kebanyakannya tinggi disokong momentum belian dalam saham wajaran tinggi terpilih serta kaunter yang boleh dipengaruhi situasi.

    Pasaran saham tempatan yang memulakan dagangan hari pertama selepas kerajaan baharu dibentuk oleh Pakatan Harapan dengan diterajui Tun Dr. Mahathir Mohamad menerusi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) menunjukkan prestasi lebih baik berban­ding jangkaan.

    Bursa Malaysia pada hari dagangan itu juga ditutup dalam lingkungan positif, berbeza de­ngan jangkaan bahawa ia akan ditutup rendah susulan reaksi spontan ekoran kekalahan parti memerintah, Barisan Nasional dalam PRU-14. Berasaskan Selasa ke Jumaat, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI meningkat 7.99 mata kepada 1,854.5 daripada 1,846.51.

    Indeks FBM Emas susut 22.49 mata kepada 12,863.22, Indeks FBMT100 kurang 35.08 mata kepada 12,663.36, FBM 70 merosot 350.89 mata kepada 14,952.37 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 129.72 mata kepada 12,945.64. FBM Ace meningkat 172.77 mata kepada 5,385.1.

    Mengikut sektor, Indeks Kewa­ngan menokok 237.7 mata kepada 18,328.29, Indeks Perusahaan naik 107.34 mata kepada 3,303.89 dan Indeks Perladangan bertambah 72.52 mata kepada 7,922.24. Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 20.14 bilion unit bernilai RM21.61 bilion daripada 4.27 bilion unit bernilai RM4.89 bilion.

    Jumlah dagangan di Pasaran Utama melonjak kepada 13.97 bilion saham bernilai RM20.6 bi­lion daripada 2.39 bilion saham bernilai RM4.53 bilion pada Selasa minggu lepas. Jumlah dagangan waran bertambah kepada 3.67 bilion unit bernilai RM523.83 juta daripada 1.22 bilion unit bernilai RM235.14 juta pada minggu lepas.

    Pasaran ACE merekodkan jumlah dagangan lebih tinggi bernilai RM472.54 juta saham berban­ding 643.35 juta saham bernilai RM122.59 juta.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Indeks KLCI Bakal Cecah 1,880 Rating: 5 Reviewed By: Samurai Biru
    Scroll to Top