Kebiasaannya, sekitar jam 2 petang, 6 petang dan 9 malam, kebanyakan masa rakyat Malaysia akan tertumpu dihadapan kaca televisyen untuk menonton drama-drama Melayu mahupun antarabangsa. Ada gelak, tawa dan sedih menghiasi setiap drama. Malah, tidak ketinggalan juga, layar perak juga turut memaparkan kisah-kisah yang sama untuk diikuti oleh para peminatnya.
Namun, tanpa kita sangka dan sedar, terdapat satu kelompok ahli politik yang hari ini telah berjaya mewujudkan sebuah kerajaan Pakatan Harapan, sudah mula menuruti jejak langkah setiap drama Melayu mahupun antarabangsa. Ada gelak ketawa, ada perasaan marah dan paling kerap kelihatan sejak akhir-akhir ini, drama air mata dan drama simpati.
Paling mencuri tumpuan adalah drama air mata yang hari ini, boleh dikatakan hampir setiap hari berlaku. Lihat sahaja Ketua Pengarah SPRM, Datuk Seri Shukri Abdull yang menumpahkan air mata lelakinya dihadapan wartawan semasa mengadakan sidang media ketika seluruh negara memberi perhatian terhadap keterangan yang diberikan oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di bangunan SPRM, Putrajaya.
Begitu juga dengan reaksi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menumpahkan air matanya ketika membicarakan hala tuju negara. Mungkin juga, beliau merasai bebanan yang maha hebat untuk memimpin negara di alam dunia maya yang tidak bersempadana hari ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng juga kelihatan agak sebak ketika memberitahu keadaan hutang negara hari ini menerusi beberapa kenyataan yang berbolak balik. Terkini, kebanyakan para penyokong Pakatan Harapan dilihat begitu sibuk menyebarkan beberapa status yang dimuat naik menerusi laman sosial milik mereka yang memaparkan banyak berita sedih kononnya berlaku di dalam kerajaan hari ini.
Paling mencuri tumpuan adalah bagaimana satu status yag dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook yang menggambarkan betapa getirnya kerajaan hari ini dalam menangani masalah negara. Kadang kala timbul persoalan, adakah terlalu getir dan gentingnya keadaan negara sehingga munculnya "drama" sebabak ini di media hari ini?
Malah, ramai juga yang mula bertanya, adakah "drama" sebabak ini adalah cubaan bagi kerajaan mengalihkan perhatian rakyat yang secara amnya menuntut kerajaan menunaikan 10 janji mereka dalam tempoh 100 hari seperti yang terkandung di dalam manifesto mereka?
Benar, bukan satu perkara yang ganjil apabila pemimpin mengeluarkan air mata apabila menyentuh tentang isu negara. Namun, jika terlalu kerap sangat menggunakan "drama" sebabak ini, apa yang dikhuatiri, satu hari nanti, rakyat akan berkata, kita memilih barisan pemimpin yang begitu lemah jiwanya sehingga cukup mudah menumpahkan air mata.
0 comments:
Post a Comment