Ramai yang tidak berpuas hati bukan saja dari segi keputusan malah persembahan dipamerkan skuad Harimau Malaysia ketika seri 0-0 dengan musuh tradisi Singapura pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional negara jiran itu, kelmarin.
Mungkin ramai juga tidak sedar jurulatih kebangsaan Datuk Ong Kim Swee terpaksa menggunakan empat pemain pertahanan yang tidak pernah beraksi di pentas antarabangsa, termasuk penampilan sulung Rizal Ghazali dan Khairul Helmi Johari.
Ini berbeza dengan Singapura yang mengekalkan barisan terbaik mereka ketika seri tanpa jaringan dengan pasukan terbaik Asia Jepun di Saitama tahun lalu ketika pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.
Ketika Singapura sudah memiliki teras utama pasukan, Kim Swee pula masih tercari-cari kesebelasan utama susulan persaraan beberapa tonggak utama serta kecederaan pemain. Melihat kepada situasi ketika ini sudah pasti tidak menyenangkan dengan tempoh tinggal lebih sebulan saja sebelum bermulanya Piala AFF di Yangon, Myanmar.
Pemain baharu tampak memerlukan masa untuk lebih tenang manakala penguasaan bola masih kurang apabila kombinasi Baddrol Baktiar yang lebih banyak bertahan kurang menjadi bersama Irfan Fazail sehinggakan kapten Amri Yahyah dan Ahmad Hazwan Bakri tidak boleh melakukan apa-apa di bahagian atas.
Bagaimanapun, Kim Swee mahu semua pihak memahami situasi dihadapinya di dalam dan luar padang ketika beliau cuba membentuk skuad terbaik dengan barisan pemain sedia ada biarpun tidak mampu ‘bermain cantik’.
“Kami bermain baik dari segi bertahan dan secara satu unit, jadi kami lakukan apa yang perlu dilakukan menentang Singapura kerana mereka menurunkan kesebelasan terbaik. Sama ada saya gembira atau tidak (permainan pasukan) tidak penting. Apa yang penting keputusan, saya suka untuk pasukan bermain cantik, tapi akhirnya apabila kita tidak menang, ia akan menjadi malapetaka.
“Anda tak perlu bermain cantik, tapi jika apa dilakukan itu mendapat keputusan yang diingini, ia sesuatu yang bagus,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.
Keputusan seri dengan Singapura di ranking 155 dunia sekurang-kurangnya sedikit melegakan selepas Malaysia (158) tumpas 0-3 kepada satu lagi seteru rantau ini Indonesia dalam aksi persahabatan bulan lalu.
Biarpun ketiadaan tonggak utama yang bersara iaitu kapten Safiq Rahim, Aidil Zaquan Abd Radzak, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal dirasai, namun Kim Swee menegaskan hanya akan menumpukan kepada 30 pemain sedia ada ketika ini.
“Jika saya ada pasukan seperti ketika menentang Timor Leste (play-off kelayakan Piala Asia 2019), saya percaya kita boleh melakukan lebih baik lagi, tapi pemain yang ada ini apabila diberikan peluang, mereka membuktikan kemampuan dan sanggup berjuang untuk berada dalam pasukan. Ini sesuatu yang perlu saya fikirkan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment