Dalam hal ini, antara individu yang paling gembira dengan berita ini adalah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Beliau adalah individu yang sentiasa berhubung dengan pelbagai pihak samada di peringkat domestik mahupun antarabangsa bagi mencari dalang disebalik insiden yang mengorbankan 298 orang penumpang itu.
Disebalik kelegaan yang dipamerkan, beliau menegaskan, Malaysia tetap akan mendakwa suspek yang bertanggungjawab dalam nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine itu.
Menurutnya, Malaysia dengan kerjasama pasukan siasatan bersama (JIT), Belanda, Belgium, Ukraine dan Australia tidak goyah untuk terus mendapatkan keadilan lebih-lebih lagi dengan pengumuman JIT yang akan melanjutkan siasatan tersebut sehingga Januari 2018.
Ujarnya lagi, dengan laporan interim JIT dan Lembaga Keselamatan Belanda (DSB), pihaknya juga akan bertindak lebih tegas dan berharap agar komuniti di peringkat antarabangsa sentiasa memastikan keadaan laluan udara dalam keadaan selamat. Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga akan mendakwa mereka yang bertanggungjawab dalam tragedi malang itu melalui mekanisme pendakwaan yang berkesan dan bersesuaian.
Laporan JIT telah mengenal pasti kira-kira 100 individu yang boleh dikaitkan dengan tragedi nahas tersebut dan peluru berpandu buatan Rusia BUK 9M38 digunakan untuk menembak MH17.
Selain itu, laporan tersebut juga mengesahkan pihak pemberontak tersebut menjadikan kawasan pertanian berhampiran bandar di Kharkiv, Ukraine sebagai lokasi tapak pelancaran sekali gus laporan itu selari dengan DSB berdasarkan bahan yang diperoleh Amerika Syarikat dan Agensi Angkasa Eropah.
Dalam masa sama, pihaknya sentiasa merakamkan ingatan dan doa terhadap ahli keluarga terdekat dan para penumpang serta anak kapal MH17 yang terlibat. Atas perasaan inilah, Malaysia akan sentiasa mencari keadilan demi membela nasib semua penumpang yang telah terkorban dalam insiden menyayat hati berkenaan.
0 comments:
Post a Comment