My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 12 October 2016

    Sikap Negatif Netizen Rosakkan Konsep Viral



    SEJAK kebelakangan ini, rakyat Malaysia disajikan dengan pelbagai aplikasi media sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube. Ia bertindak sebagai pemangkin perkembangan konsep bahan viral yang disebarkan dengan meluas dan pantas.

    Sebenarnya, maksud istilah viral itu masih mengelirukan kita. Jika dilihat dari segi istilah dalam penggunaan media sosial, viral adalah satu kaedah penyebaran pesan dengan menggunakan teknologi, baik melalui internet ataupun mana-mana jenis gajet. Viral dalam aplikasi media sosial selalunya dikaitkan dengan isi kandungan maklumat yang ingin disampaikan.

    Proses penyebaran isi kandungan maklumat inilah yang dikenali sebagai viral. Teknik viral ini sebenarnya mempunyai kebaikan dan keburukan, sekali gus bergantung kepada kematangan berfikir seseorang individu dalam memanfaatkannya.

    Video dan mesej yang memaparkan kes penderaan terutamanya melibatkan kanak-kanak boleh memberi kesedaran kepada orang ramai khususnya ibu bapa supaya sentiasa berwaspada dan memantau keadaan anak-anak masing-masing. Ia merupakan sesuatu yang positif tetapi mungkin bertukar kepada keadaan mencemaskan sekiranya isi kandungan itu tidak dikawal dengan baik. 

    Bahan sedemikian sepatutnya menjadi medium memberi maklumat kepada orang ramai. Ia juga memudahkan pihak berkuasa untuk menyiasat bagi mengenal pasti individu yang terbabit melakukan penderaan berkenaan.

    Begitupun, ia akan bertukar menjadi sebaliknya dan menggemparkan masyarakat jika isi kandungan maklumat viral tersebut melampaui batas serta mengandungi unsur-unsur penipuan. Keburukan 

    Sementara itu, kandungan mesej viral melalui apa jua platform boleh membawa keburukan apabila kandungannya ditokok tambah dengan berita atau maklumat berunsur fitnah dan hasutan sehingga mewujudkan perbalahan serta kegusaran dalam kalangan masyarakat. Ditambah lagi, jika bahan yang diviral itu disertakan dengan maklumat tidak benar.

    Misalnya, tindakan pihak tertentu menyebarkan video yang boleh memburukkan imej seseorang individu lain. Bahan sedemikian juga boleh memburukkan lagi keadaan apabila ia berkaitan dengan imej agama, bangsa dan negara yang akan memupuk rasa benci dan dendam di dalam masyarakat berbilang bangsa di negara yang kita cintai ini.

    Kandungan yang boleh menggugat sensitiviti masyarakat sebegini perlu dielakkan dan dibanteras. Jika ia dibiarkan berleluasa, kegunaan kandungan video dan mesej viral yang sepatutnya membawa bayak manfaat positif akan memberi impak negatif kepada keamanan dan kesejahteraan negara selain Malaysia akan dipandang serong oleh negara luar.

    Faktor utama yang memainkan peranan adalah tahap rasa kebertanggungjawaban dan tindak balas emosi positif mahupun negatif terhadap sesuatu kisah itu. Masyarakat cukup gemar dengan kisah kejayaan yang memberi inspirasi ataupun cerita penderitaan yang menyayat hati.

    Namun, masalah timbul apabila kisah yang disebarkan itu sebenarnya bukan cerita sebenar. Punca banyak kisah atau maklumat palsu dalam kandungan viral yang menjadi popular adalah kerana masyarakat gemar menekan butang share dan retweet tanpa berfikir sewajarnya.

    Mereka mengabaikan tindakan untuk memastikan kesahihan kandungan viral itu tetapi lebih mengutamakan keghairahan dan kepuasan diri menjadi orang terawal menyebarkan berita terkini mengalahkan seseorang yang pakar dalam bidang tersebut.

    Bangga

    Kini, timbul pula satu sindrom penyakit baharu iaitu mendapatkan bilangan like dan retweet yang mencecah ribuan, sekali gus membolehkan kumpulan ini menjadikan modal untuk berasa bangga dengan ahli mereka. Kerana kegilaan mengejar share dan retweet itu, kadang-kadang perkara remeh pun boleh menjadi trending.

    Tidak kurang juga ramai yang menjadikan konsep viral ini sebagai alat untuk meluahkan ketidakpuasan hati mereka, perkara yang boleh diselesaikan secara rasional di tempat kejadian tetapi kini dijadikan isi kandungan viral untuk memanjangkan cerita di media sosial.

    Selalunya, perkara ini melibatkan interaksi dengan orang lain seperti layanan yang diterima di kompleks kerajaan mahupun di restoran. Moralnya, jangan biarkan masyarakat menjadi lebih skeptikal apabila mendengar sesuatu kandungan viral sehinggakan tiada siapa mahu percaya walaupun jenayah sebenar berlaku seperti kisah teladan popular Penggembala Kambing dan Serigala.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Sikap Negatif Netizen Rosakkan Konsep Viral Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top