Penerbangan Malaysia, MH370 dipercayai hilang kawalan ketika menjunam ke dalam laut dengan kepak sayapnya berada pada kedudukan tidak bersedia untuk mendarat, demikian menurut satu laporan baharu semalam.
Laporan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) itu mendapati, komunikasi satelit terakhir MH370 adalah konsisten dengan situasi pesawat tersebut menjunam semakin laju sebelum hilang.

“Laporan ini mengandungi maklumat penting baharu berkaitan apa yang kita percaya berlaku pada pengakhiran penerbangan MH370,” kata Menteri Pengangkutan Australia, Darren Chester.
Beliau berkata demikian pada permulaan mesyuarat tiga hari di Canberra yang menyaksikan pakar-pakar bertemu bagi merangka fasa terakhir pencarian pesawat malang itu. Pesawat jenis Boeing 777 milik Penerbangan Malaysia itu hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Usaha mencari telah merangkumi kawasan seluas lebih 110,000 kilometer persegi daripada keluasan 120,000 kilometer persegi yang diputuskan, manakala operasi mencari MH370 dijangka tamat awal tahun hadapan.
0 comments:
Post a Comment