Lebih 80,000 orang berpindah dari kediaman mereka di Haifa, kata pihak berkuasa kelmarin ketika kebakaran belukar turut berlaku dekat Baitulmuqaddis dan beberapa kawasan lain di Israel. Sekurang-kurangnya 700 rumah Haifal musnah dijilat api yang menjulang tinggi.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, kebakaran di serata Israel itu akan dianggap tindakan keganasan sekiranya terdapat bukti ia sengaja dilakukan. Netanyahu bagaimanapun tidak menyatakan sama ada beliau mempercayai enam kebakaran di Haifa, utara Israel dan kawasan lain dilakukan dengan sengaja.
Terdahulu, agensi meteorologi Israel menyatakan bahawa cuaca kering dan angin yang kuat menyebabkan api merebak dengan cepat. Setakat kelmarin, lima negara termasuk Rusia dan Turki menghantar pesawat pemadam kebakaran ke Israel bagi membantu memadamkan api.
Beberapa pegawai berkata, kira-kira 10 pesawat dari Croatia, Cyprus, Greece dan Itali juga telah tiba atau dalam perjalanan ke Israel. Media tempatan melaporkan sebuah pesawat bom air akan tiba dari Amerika Syarikat dalam tempoh 24 jam.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa saksi berkata, Haifa yang merupakan bandar ketiga terbesar di Israel kelihatan seperti zon perang. Kebakaran belukar itu bermula malam Isnin lalu berhampiran kampung Neve Shalom yang didiami orang Yahudi dan Arab.
Dalam perkembangan terbaru, polis Israel menangkap 12 orang kerana disyaki sengaja melakukan kebakaran di tengah dan utara negara itu. Menteri Keselamatan Dalam Negeri Israel, Gilad Erdan menyatakan mereka yang ditahan terdiri daripada warga Israel berketurunan Arab ataupun penduduk Palestin. Kebakaran di Haifal telah dapat dikawal semalam.
0 comments:
Post a Comment