Selepas berjaya mengarahkan drama rantaian Sayangku Kapten Mukhriz, kini Idora Abdul Rahman tampil pula dengan buah tangan baru bergenre komedi romantik berjudul Pengantinku Jatuh Dari Langit. Idora berkata, drama 30 episod terbitan Creative Skill Solution Sdn Bhd itu dia mampu menarik nafas lega apabila naskhah kali ini lebih bersifat santai dan sarat dengan komedi.
“Menerusi drama Sayangku Kapten Mukhriz saya perlu memastikan setiap babak yang membabitkan barisan pelakon harus mengikut syarat pemakaian yang ditetapkan memandangkan hero drama terbabit adalah kapten dalam Kor Agama Angkatan Tentera Laut manakala heroinnya pula doktor.
“Jadi sepanjang menjalani penggambaran banyak faktor perlu diambil kira selain mempelajari etika pemakaian mereka supaya tidak mendapat kecaman dan maklum balas negatif. “Terus terang menerusi drama Pengantinku Jatuh Dari Langit, saya agak santai kerana tidak begitu terikat. Saya bebas berkarya dan menentukan pakaian yang sesuai untuk barisan pelakon,” katanya.
Biarpun drama terbabit memaparkan naratif ringan, Idora mengakui naskhah ini bukan mudah untuk direalisikan memandangkan penerbit sangat teliti dalam segala aspek.
Kata Idora, kemungkinan drama adaptasi novel karya Mia Kiff itu akan dilanjutkan sesi penggambarannya sehingga awal tahun depan memandangkan penerbit Creative Skill Solution, Suriyati mahu membaca semula skrip untuk penambahbaikan.
“Selain cuaca tidak menentu, cabaran lain perlu dihadapi adalah skrip. Penerbit amat menitikberatkan jalan cerita yang disampaikan. Mereka akan membaca dan mengubah jalan cerita agar lebih menarik selain mementingkan aspek kualiti.
“Jika terlalu terikat dengan novel, sukar untuk dihasilkan kerana drama ini 30 episod. Jadi pihak produksi perlu mengambil masa untuk mengembangkan jalan cerita,” katanya.
Drama yang bakal bersiaran di saluran Hypp TV mulai 30 November ini dibintangi pelakon Hafreez Adam, Afifah Nasir, Kartina Aziz dan Fahad Iman. Ditanya mengenai mutu lakonan barisan pelakon, Idora berkata, dia sangat berpuas hati.
“Satu perkara paling saya suka bekerja dengan pelakon kali ini adalah mereka akan berbincang dan berusaha memahami watak sebelum masuk set. Malah, jika ada yang tidak kena dengan sesi latihan mereka akan minta izin saya mengubah dan membawakan watak dengan cara lebih menarik.
“Saya kagum dengan usaha dan tenaga mereka menjayakan drama ini. Selain itu, saya berterima kasih dengan komitmen pelakon senior yang sentiasa membantu bakat muda,” katanya.
Pengantinku Jatuh Dari Langit mengisahkan gadis kampung bernama Rinieta Aini menetap dengan Opah Milah selepas bapanya menghilang. Rinieta pandai menjaga diri, berdikari, suka makan petai dan kuat melatah. Suatu hari Opah Milah memaksa Rinieta ke Kuala Lumpur untuk berdikari selain mencari bapa kandungnya.
Sementara itu, Datuk Khadijah pemilik Mercu Holding Berhad memiliki dua cucu bernama Arfy Qhairant dan Ayman Hyeqal. Dia menjaga dua cucunya itu sejak kecil. Arfy Qhairant sangat cerewet, ego, keras kepala, namun manja dengan Datuk Khadijah. Arfy sukar membicarakan soal cinta malah dia tidak lagi mempercayai wanita sejak ditinggalkan Fairani pada hari pernikahan mereka.
Rinieta bekerja di Mercu Berjaya Holding sebagai kerani selepas diarahkan Ayman. Arfy naik angin apabila mengetahui Rinieta diambi bekerja tanpa pengetahuannya. Dia tahu Ayman pantang melihat wanita cantik dan sanggup menawarkan kerja biarpun tiada kelayakan. Rinieta yang menjadi mangsa keadaan dimarahi banyak pihak.
Dia akhirnya menjelaskan cerita sebenar kepada Arfy dan sejak itu mereka mula rapat. Afifah yang pertama kali membawa watak utama sebagai Rinieta mengakui gementar melihat hasil kerjanya selain banyak belajar dengan pengarah dan rakan artis.
“Seronok menjayakan drama ini kerana semua pelakon sangat komited dan sudi membantu saya. Sebagai orang baru, menghidupkan watak utama bukan tugas mudah. Alhamdulillah, jika dulu kerjaya ini bukan keutamaan kini semakin hari semakin suka pula,” katanya.
Afifah mula terbabit dalam bidang lakonan awal tahun ini selepas video dihasilkan bersama kakaknya yang juga pelakon popular Anzalna Nasir menarik minat penerbit Global Station Sdn Bhd. Katanya, tidak lama kemudian dia diminta menghadiri uji bakat dan terpilih menjayakan drama Aku Bukan Bimbo. “Selepas mencuba saya mula jatuh cinta dengan bidang lakonan dan mahu bergiat secara serius,” katanya.
Bagi Hafreez pula, jika sebelum ini dia kerap membawakan watak jejaka baik kali ini sedikit berbeza apabila tampil sebagai jejaka yang mementingkan darjat. “Drama ini memerlukan saya serius sepanjang masa termasuk ketika berdepan dengan Rinieta yang kelakar dan kuat melatah.
“Bukan mudah untuk saya menahan gelak selain perlu makan petai walhal sebelum ini tak pernah sentuh pun,” katanya.
0 comments:
Post a Comment