Bulan lalu penulis novel Harry Potter, JK Rowling mendedahkan filem adaptasi novel Fantastic Beasts and Where to Find Them berkemungkinan diteruskan untuk empat siri lagi. Perkara itu disahkan produser David Heyman baru-baru ini dan memaklumkan idea menghasilkan sekuel itu adalah daripada Rowling yang turut bertindak selaku penulis skrip.
Heyman berkata, Rowling bebas membuat keputusan memandangkan penulis tersohor itu adalah pencipta novel Fantastic Beasts selain mempunyai pengetahuan luas mengenai dunia magis Harry Potter.
“Antara kejayaan besar filem Harry Potter adalah kerana kehebatan dunia yang dicipta Rowling. Dia tahu latar belakang, sejarah dan pengembaraan watak Newt dalam Fantastic Beasts,” katanya.
Terdahulu, Rowling memberitahu majalah Variety hanya akan menghasilkan trilogi namun berubah fikiran kerana berasakan lima siri lebih baik. “Ikutkan terlalu awal untuk saya mengumumkan perkara ini kerana Fantastic Beasts akan mengupas perjalanan kisah selama 19 tahun,” katanya.
Kejadian dalam Fantastic Beasts berlaku pada 1926 dan ia bermakna sekuel terakhirnya adalah pada penghujung Perang Dunia Kedua iaitu 1945. Membariskan pelakon Eddie Redmayne, Katherine Waterson, Dan Fogler dan Alison Sudol, Fantastic Beasts mengisahkan pakar haiwan magis, Newt Scamander.
Sejak menemui penonton di pawagam minggu lalu, filem arahan David Yates itu dijangka memaparkan sekuel pertamanya pada 2018 menampilkan ahli sihir dari Harry Potter, Dumbledore. Selain itu, pelakon versatil Johnny Depp juga akan muncul dalam sekuel berkenaan sebagai ahli sihir jahat Grindelwald.
0 comments:
Post a Comment