My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 28 November 2016

    London Kekal Komited



    London kini komited dengan pelan perancangan pertumbuhan ekonominya untuk menjadi pusat kecemerlangan serta hab bagi industri teknologi kewangan (fintech), kewangan Islam dan pembiayaan hijau global selepas mengambil keputusan untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU) atau Brexit pada Jun lalu. 

    Setiausaha Perbendaharaannya, Simon Kirby berkata, ia akan dilaksanakan dengan sistem perundangan yang lebih cekap, sikap keterbukaan, kestabilan, polisi keselamatan yang bebas serta pakar kemahiran tinggi dan bakat profesional yang dapat menarik lebih banyak pelaburan dengan pelbagai potensi.

    Beliau berkata, Britain adalah negara dengan sikap pemikiran terbuka dan tiada apa yang akan dapat mengubah status terbabit meskipun negara itu dalam proses pasca Brexit yang dijangka akan berakhir dalam tempoh beberapa tahun lagi.

    “Kota London sentiasa berminat untuk menyediakan rangka kerja bagi produk serta perkhidmatan kewangan Islam serta fintech yang memberikan peluang terbaik kepada pembangunan ekonomi Britain serta ekonomi global yang lain.

    “Malah, Britain juga adalah negara bukan Muslim pertama yang menerbitkan sukuk yang menarik banyak minat dalam kalangan pelabur untuk mengembangkan peluang perniagaan dengan prestasi yang memberangsangkan.

    “Kota London apabila digabungkan dengan produk serta perkhidmatan yang tepat, ia akan terus kekal menjadi pusat ekonomi terbaik dalam menjalankan perniagaan dan fintech adalah salah satu komponen terbabit,” katanya kepada wartawan Kumpulan The New Straits Times (Malaysia) Berhad (NSTP), di sini.

    UK meninggalkan EU setelah proses pungutan suara yang dibuat membabitkan 382 kawasan undian menunjukkan 51.9 peratus penduduknya mahu negara itu keluar daripada EU atau gerakan dikenali sebagai Brexit berbanding 48.1 peratus mahu kekal dalam blok berkenaan.

    Keputusan tersebut turut ‘memaksa’ David Cameron meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri yang dibimbangi akan menjejaskan pelaburan bagi negara ekonomi kelima terbesar dunia itu.

    Minggu lalu, Kirby tiba di Singapura bagi Festival Antarabangsa Fintech dan dalam masa sama beliau berkata, kerajaan UK teruja untuk berkongsi perspektifnya bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dalam siri lawatan yang sama selepas berada di Singapura.

    Menurutnya, bersama-sama dengan Malaysia, fintech dan kewangan Islam adalah antara cabang ekonomi yang akan diberikan fokus utama bagi membolehkan UK untuk terus berangkaian dengan kuasa ekonomi dunia yang lain.

    “Kami (UK) berjanji untuk membantu memperkukuh perniagaan bagi kedua-dua kerajaan supaya ia dapat merancakkan hubungan serta pelaburan dua hala di mana terdapat minat dari pelabur Malaysia di sana (UK),” katanya.

    Kirby berkata, sepanjang menjalin hubungan diplomatik serta perdagangan dengan Malaysia, kerajaan Britain menikmati perhubungan yang baik dan rapat bersama Malaysia serta optimis dan yakin dengan kebolehupayaan ekonomi serantau.

    Mengulas mengenai persekitaran ekonomi global berikutan Brexit, beliau berkata, ekonomi UK menekankan asas ekonomi yang kukuh dalam menyediakan lebih peluang pekerjaan berbanding tempoh sebelum ini.

    “Kita boleh lihat terdapat turun naik dalam ekonomi selepas peristiwa Brexit, namun ia terus kekal stabil dengan kadar pekerjaan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta suntikan pelaburan yang meningkat,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: London Kekal Komited Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top