SKUAD Harimau Malaysia memilih jalan sukar apabila gagal merealisasikan impian untuk membelasah Vietnam pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan B kempen Piala AFF Suzuki 2016 di Stadium Thuwunna, Yangon, Myanmar semalam.
Pada perlawanan tersebut, skuad negara kalah tipis 0-1 kepada pasukan yang mendapat jolokan The Golden Stars itu menerusi jaringan Nguyen Trong Hoang pada minit ke-79. Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan ia sudah cukup untuk mengesahkan tempat Vietnam ke separuh akhir.

Kekalahan semalam ternyata menyukarkan laluan mereka kerana lawan Harimau Malaysia pada aksi terakhir nanti memiliki segala kelebihan selaku tuan rumah. Selain itu, ia sudah pasti memberi tekanan kepada barisan pemain negara kerana mereka perlu menang jika berhasrat mengiringi Vietnam dari Kumpulan B untuk melangkah ke separuh akhir.

“Kita perlu kembali fokus untuk menghadapi Myanmar nanti kerana perlawanan tersebut akan menjadi penentuan terhadap perjuangan Harimau Malaysia pada Piala AFF Suzuki kali ini,” jelas Kim Swee selepas perlawanan semalam.
Selain Vietnam yang sudah mengesahkan tempat ke separuh akhir, turut layak ialah Thailand daripada Kumpulan A yang menewaskan Singapura 1-0 pada perlawanan kedua kelmarin.
0 comments:
Post a Comment