Tiga individu ditahan selepas didapati memburu tanpa kebenaran lesen yang sah dari Jabatan Hidupan Liar. Pengarah Jabatan Hidupan Liar Augustine Tuuga berkata kesemua suspek ditahan kira-kira jam 5 pagi dalam satu sekatan jalan di kawasan ladang sawit Benta Wawasan Tawau, kelmarin.
Menurutnya tangkapan terbabit dibuat hasil maklumat awam dan pemantauan oleh Tawau Anti Poaching Task Force. “Pemeriksaan awal mendapati ketiga-tiga suspek membawa bangkai seekor rusa dan dua ekor babi hutan.
“Bangkai berkenaan ditemui di tempat penyimpanan belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh salah seorang suspek. Turut ditemui di dalam kenderaan berkenaan selaras senjata api bersama lapan butir peluru hidup,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.
Beliau berkata kesemua suspek yang juga dipercayai warga tempatan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk siasatan lanjut. Augustine berkata bangkai haiwan terbabit dan kenderaan suspek turut dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar. Selain itu jelasnya senjata api serta peluru hidup diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
“Jika sabit kesalahan kesemua suspek bakal berhadapan hukuman di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
“Enakmen berkenaan memperuntukkan denda tidak kurang dari RM30,000 dan tidak melebihi RM50,000 atau penjara bagi tempoh tidak kurang daripada enam bulan tetapi lebih dari tiga tahun, atau kedua-duanya mengikut Seksyen 41 (2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya.
0 comments:
Post a Comment