“SEKARANG, RM50 pun tidak boleh dapat apa. Dahulu dengan nilai ini macam-macam boleh beli.” Itu antara keluhan yang diungkapkan oleh masyarakat di Malaysia sejak kebelakangan ini. Ungkapan itu memberi gambaran yang jelas bahawa masyarakat kian dihimpit dengan masalah kos sara hidup yang semakin meningkat saban hari.
Peningkatan kos sara hidup mula dirasai sejak April tahun lalu dan bertambah selepas kerajaan mengumumkan langkah merasionalkan subsidi terhadap beberapa barangan keperluan harian seperti minyak masak dan gula.
Menurut Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi, Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Asan Ali Golam Hassan, terdapat banyak faktor yang menjadi penyebab kepada peningkatan kos sara hidup. Katanya, salah satu penyebab utama yang dikenal pasti ialah faktor luaran iaitu kejatuhan nilai ringgit berbanding nilai mata wang dunia lain.
"Kejatuhan nilai ringgit telah menyebabkan kos barang-barang import siap dan separa siap meningkat. Malaysia juga mengimport banyak barang keperluan asas dari luar negara.
Berasa terbeban
“Keadaan ini secara tidak langsung mempengaruhi harga barangan dan perkhidmatan dalam pasaran. Masalah ini sukar untuk dikawal,” katanya ketika dihubungi media baru-baru ini.
Peningkatan kos sara hidup yang tidak selari dengan pertambahan pendapatan isi rumah pasti mengurangkan pendapatan boleh belanja mereka. Malah, bagi isi rumah yang mengharapkan gaji bulanan semata-mata, mereka pasti akan berasa terbeban untuk memenuhi keperluan diri dan keluarga.
Suasana ekonomi yang sangat mencabar ini sedikit sebanyak memberi implikasi negatif sehingga mengganggu gugat kebahagiaan keluarga. Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia, Nor Hartini Saari berkata, kos sara hidup yang meningkat mengundang pelbagai implikasi buruk kepada masyarakat terutamanya mereka berpendapatan rendah.
Katanya, ada individu yang terpaksa mengambil jalan singkat dengan membuat pinjaman daripada institusi kewangan tidak berlesen bagi menampung ketidakcukupan pendapatan bulanan. “Tindakan itu pasti akan mengundang masalah lain iaitu diburu oleh pemberi hutang.
“Akibatnya, mereka akan berasa tertekan dan mengundang kepada simptom tekanan yang memberi kesan kepada psikologi. Antaranya, sukar untuk tidur, hilang selera makan dan sakit kepala,” katanya.
Menurut Nor Hartini, ketidakcukupan pendapatan boleh guna juga menyebabkan ada segelintir individu terpaksa melakukan pekerjaan tambahan atau kerja sambilan. Katanya, langkah itu pasti akan menghadkan masa berkualiti untuk beristirehat dan bersama ahli keluarga bagi mereka yang sudah berkahwin.
“Kekurangan masa berehat menyebabkan individu terbabit mudah terdedah dengan pelbagai penyakit mental dan emosi. “Malah, ia boleh memberi kesan kepada institusi keluarga seperti perbalahan, penderaan, perceraian dan gejala sosial dalam kalangan remaja,” katanya.
Beliau turut menyatakan, bagi mengurangkan implikasi peningkatan kos sara hidup, masyarakat perlu dibantu terutamanya dalam menyediakan mekanisme yang bersesuaian bagi menghadapi ekonomi semasa.
Tambahnya, pada masa yang sama, masyarakat juga perlu bijak mengatur perbelanjaan. Pendedahan tentang beberapa instrumen simpanan dan pelaburan untuk keperluan semasa serta kecemasan juga adalah perlu.
“Selain masyarakat, pemantauan tegas oleh pihak berkuasa juga perlu terhadap pihak yang cuba menaikkan harga barangan tanpa sebab. “Pemantauan dan penguatkuasaan ini perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Hukuman tegas harus diambil kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
0 comments:
Post a Comment