Biarpun sudah hampir seminggu keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan, Naziah Ibrahim masih belum mengetahui keputusan diperoleh berikutan terpaksa menjaga ibu bapanya yang cacat penglihatan.
Sebelum ini murid Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lintang itu sering ponteng sekolah kerana tidak sanggup meninggalkan ibu bapanya di rumah. Beban ditanggung bertambah apabila doktor mengesahkan ibunya, Saayah Langiri, 41, menghidap kanser hidung menyebabkan Naziah terus melupakan sesi persekolahan.
Naziah berkata, tiada siapa boleh menjaga bapanya, Ibrahim Abdullah, 55, menyebabkan dia rela hati ponteng sekolah. Menurutnya, masalah penglihatan dialami ditambah dengan penyakit kanser hidung menyebabkan ibunya hanya terbaring dan sukar bergerak.
“Setiap bulan, saya perlu membawa ibu ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Demi menanggung perbelanjaan harian, saya terpaksa bekerja membantu jiran menjual kuih dengan gaji RM5 sehari.
“Ada ketikanya saya diberi makanan untuk ibu dan ayah sebagai upah,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Flat Taman Dahlia Matang di sini, semalam.
Bapanya, Ibrahim berkata, sebelum ini mereka sekeluarga tinggal di Batu Lintang dan berpindah ke Flat Taman Dahlia secara percuma sejak sebulan lalu hasil ihsan individu tidak dikenali. Katanya, bagi menyara keluarga dia berniaga kecil-kecilan, tetapi ketika ini tidak berdaya untuk bekerja dan hanya duduk di rumah menemani isterinya yang terlantar.
“Saya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 sebulan, namun wang itu tidak mencukupi untuk perbelanjaan harian termasuk menanggung kos ubat isterinya,” katanya yang turut mempunyai seorang anak lelaki, Ismail, 19 yang menghidap sawan dan tinggal di Kampung Sungai Mupong, Sarikei.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Naziah di talian 019-8866065.
0 comments:
Post a Comment