MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) meminta kerajaan menyemak semula harga siling gula yang dijual pada RM2.84 sekilogram pada masa ini berikutan kenaikan harga gula mentah global dan kos pengeluaran.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Mohamad Amri Sahari berkata, MSM terpaksa menanggung kenaikan harga gula mentah yang mana sekarang sudah mencapai AS$485.01 setan metrik berbanding AS$330 setan metrik tahun lalu. Katanya, harga gula mentah pernah mencecah sehingga AS$529.10 setan metrik pada September lalu.
“Itu baru harga gula mentah, belum termasuk kos pengeluaran serta pengedaran dan MSM juga menanggung kenaikan harga gas asli sebanyak 30 peratus.
“Namun, kami sudah berbincang dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk mempertimbangkan semula harga siling gula yang pada masa ini tidak boleh lebih daripada RM2.84 sekilogram,” katanya pada pengumuman prestasi kewangan suku ketiga MSM di sini, semalam.
Menurutnya, MSM mencadangkan untuk menaikkan harga siling antara 20 hingga 30 peratus supaya dapat mengimbangkan kos kenaikan yang dihadapi.
0 comments:
Post a Comment