Tidak dinafikan, sejak 11 Mei 1946, UMNO telah berhadapan pelbagai cabaran dan turun naik dalam arus politik semasa. Sebagai parti yang tunjang kaum Melayu di negara ini, UMNO masih mampu mengharungi pelbagai cabaran yang mendatang dan masih kekal relevan sehingga hari ini.
Melalui UMNO, nasib kaum Melayu dan bumiputera di negara ini lebih diberi keutamaan setiap kali persidangan UMNO diadakan. belum pernah walau sekalipun, agenda memperkasakan Melayu dan bumiputera ditinggalkan oleh kesemua Presiden UMNO. Ianya sentiasa diberi keutamaan sebagai bukti wadah perjuangan sebenar parti yang menjunjung Agama, Bangsa dan Tanahair.
Disaat pengkhianatan demi pengkhianatan dilakukan oleh bekas orang kuat UMNO, inilah masa buat kesemua 3.6 juta orang ahli UMNO memperkukuhkan saf dan kembali ke landasan sebenar perjuangan parti. Untuk mengharungi Pilihan Raya Umum ke 14 nanti, UMNO tidak boleh lagi membiarkan sebarang jurang timbul yang boleh melemahkan parti secara keseluruhannya.
UMNO bukan seperti usia pesaingnya seperti PKR, PAN, PPBM mahupun DAP. Pada usia 70 tahun ini, sepatutnya, UMNO sudah menampakkan kematangan dan kekuatannya, sama seperti usianya kini. Ditangan 3.6 juta orang ahli UMNO terletaknya masa depan UMNO yang telah diwarisi sejak penubuhannya dahulu.
Mungkin hari ini ada yang menyatakan, UMNO berhadapan dengan cabaran yang cukup getir namun percayalah, cabaran yang ada hari ini tidak sehebat cabaran pada masa akan datang. Jika hari ini ahli UMNO sendiri memilih untuk berpecah belah, bagaimana UMNO masih mampu kekal bertahan untuk masa akan datang?
Justeru, setiap seorang pemimpin, perwakilan dan ahli-ahli UMNO harus merenung semula landasan perjuangan mereka sebenarnya. Adakah masih terdapat jurang-jurang pemisah antara ahli atau masih lagi terbawa-bawa dengan propaganda yang sedang cukup agresif mengasak UMNO dari segenap penjuru. Apa yang pasti, tradisi asal UMNO yang taat kepada parti dan ketua, harus sentiasa disemat di minda dan hati agar perjuangan tidak tersasar dari landasannya.
Kepada seluruh pemimpin dan perwakilan serta ahli UMNO, selamat bersidang.
0 comments:
Post a Comment