Permodalan Nasional Bhd (PNB) memberi bayangan untuk memberi dividen lebih rendah kepada pelaburnya tahun ini berbanding sebelum ini, namun ia masih dilihat kompetitif.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, pihaknya memberi jaminan untuk meneruskan pemberian dividen berkenaan, namun pada masa sama mahu setiap pelabur memahami situasi ekonomi yang semakin mencabar ini.
Beliau berkata, pihaknya masih mempunyai kemampuan biarpun menyedari kesan prestasi ekonomi global yang mencabar lebih-lebih lagi kebanyakan pelaburan PNB didagangkan dalam ekuiti domestik.
“Insya-Allah, bergantung kepada strategi yang kami lakukan, kami mungkin meneruskan pembayaran dividen, namun ia tidak banyak seperti tahun sebelumnya,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Pertandingan Akhir Kuiz Pelaburan PNB 1Malaysia Kategori Badan Beruniform, di sini, semalam.
Ditanya sama ada PNB terkesan dengan kejatuhan nilai ringgit disebabkan pengukuhan dolar Amerika, Abdul Rahman berkata, PNB tidak begitu terkesan dengan situasi berkenaan memandangkan pelaburan asing PNB di luar negara hanya dua peratus sahaja.
“Kesan situasi berkenaan ke atas PNB adalah neutral. Malah, secara peribadi situasi itu hanya bersifat sementara sahaja dan berharap mata wang negara akan pulih selepas episod ekonomi itu bertambah stabil,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, pihaknya merekodkan pertambahan bersih unit pelaburan RM7.14 bilion sepanjang tahun ini dengan pertambahan 300,000 pelabur baru.
Terdahulu, Abdul Rahman turut berkesempatan menyaksikan Pertandingan Akhir Kuiz Pelaburan PNB 1Malaysia Kategori Badan Beruniform 2016 yang menyaksikan 12 badan beruniform mengambil bahagian dengan 24 peserta.
Pada siri ke-14 pertandingan itu, pasukan Bomba dan Penyelamat muncul johan, sekali gus membawa pulang piala pusingan, piala iringan dan hadiah utama iaitu unit Amanah Saham Gemilang-Pendidikan (ASG-Pendidikan) bernilai RM15,000.
0 comments:
Post a Comment