Kekurangan diri sedikit pun tidak menjadi penghalang buat anak muda berkarisma tinggi ini untuk mengecapi impian hidup, malah berjaya membuktikan dia juga mampu menggapai segala yang diimpikan sama seperti insan lain terutama dalam bidang sukan diminati.
Bagi Muhammad Nabil Rosli, 22, yang mengalami masalah palsi serebrum (CP), pencapaian merangkul pingat emas dalam acara lompat jauh dan dua pingat gangsa dalam acara larian 100 meter dan 200 meter ketika menyertai Sukan Paralimpik Remaja Asia 2013 antara pencapaian paling dibanggakan.
Menurut Muhammad Nabil, rekod terbarunya adalah memenangi pingat perak dalam acara pecut 100 meter dan pingat gangsa bagi pecut 200 meter di Sukan Paralimpiad Malaysia Ke-18 (SUKMA XVIII) 2016, Ogos lalu. “Saya mula aktif dalam bidang sukan sejak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Selatan di bawah Program Pendidikan Komuniti Integrasi (PPKI).
“Namun hakikatnya bersukan adalah minat saya kerana melaluinya saya dapat pastikan kesihatan berada dalam keadaan yang baik. Selain olahraga, saya juga aktif dalam bola sepak dan futsal sejak 2010. Malah pernah menyertai perlawanan di Medan, Indonesia dan Singapura,” katanya.
Muhammad Nabil berkata, bagi memastikan tahap kecergasan dan momentum diri berada dalam keadaan terbaik, dia sentiasa menjalani latihan kecergasan di gimnasium berhampiran rumahnya dan seminggu sekali akan ke Kelab Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Latihan kecergasan ini amat penting kepada setiap atlet termasuk saya kerana melalui cara ini dapat pastikan diri sentiasa bersedia dan dalam keadaan terbaik. Selain latihan kecergasan, saya juga sering berjoging di sekitar kawasan perumahan hampir setiap hari bagi mengekalkan stamina,” ujarnya yang sentiasa mengukir senyuman.
Katanya, dia tidak pernah menjadikan kekurangan diri sebagai halangan untuk berjaya malah sentiasa bersemangat hendak menambah koleksi pingatnya.
Bijak bahagi masa
Selain bidang sukan, Muhammad Nabil juga berbangga kerana diberi peluang bekerja di restoran makanan segera, McDonald’s cawangan Puncak Alam sebagai kru separuh masa sejak November 2015.
Tanggungjawab dipikul menjadikan Muhammad Nabil lebih fokus dan meningkatkan disiplin diri dalam melaksanakan tugasnya. Menurutnya, dia amat gembira kerana diberi peluang bekerja seperti individu lain yang menjadi medan mempelajari pelbagai perkara baru.
“Saya bermula dengan bekerja selama empat jam supaya tidak membebankan diri. Apabila saya berjaya melaksanakan tugas dengan baik, pihak pengurusan bersetuju memanjangkan tempoh itu bersesuaian dengan kemampuan diri selepas perbincangan bersama ibu dan ayah.
“Saya amat bersyukur kerana pengurus cawangan dan rakan sekerja banyak memberi tunjuk ajar, membantu serta mengalu-alukan kehadiran insan seperti saya sebagai kru di sini,” katanya yang menggunakan wang gaji sebaik mungkin demi masa depan dirinya.
Dia diajar untuk melakukan tugas mengemop, membersihkan meja dan menyapu lantai selain berinteraksi dan berkomunikasi dengan semua pihak terutama pelanggan. “Saya gembira kerana McDonald’s memberi peluang kepada orang kurang upaya (OKU) seperti saya untuk bekerja dan layanan diberikan juga amat baik.
“Kebiasaannya, selepas habis bekerja saya akan pulang ke rumah dan berehat seketika. Selepas itu, saya akan berjoging,” ujarnya. Katanya, dia tidak mahu menjadikan kerjaya sebagai halangan untuk meneruskan minat dan bakat dalam bidang sukan.
“Saya cuba bahagi masa sebaik mungkin dengan mengatur jadual harian di rumah supaya tidak berasa penat atau membuang masa dengan perkara tidak berfaedah. Saya juga akan tidur awal setiap malam supaya tidak terlewat bangun keesokan hari atau lewat ke tempat kerja,” katanya yang dihantar ke tempat kerja serta diambil oleh ibunya setiap hari.
Impikan kecemerlangan dalam sukan
Anak kedua daripada tiga beradik yang meminati penyanyi Awie ini mempunyai pelbagai impian mahu direalisasikannya terutama dalam bidang sukan. “Saya mahu meraih pingat emas dalam semua kejohanan disertai tidak kira di dalam atau luar negara. Walaupun impian ini agak besar, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk menunaikannya.
“Bagi saya, dalam hidup ini tiada yang mustahil asalkan kita mempunyai sikap positif, tidak mudah berputus asa dan disiplin diri yang tinggi,” ujarnya.
Menurutnya, kesungguhannya di dalam bidang sukan itu bersebab. Dia bukan saja mahu mencipta kenangan indah dalam hidupnya, tetapi yang lebih penting membanggakan ibu bapanya yang banyak berkorban.
“Saya mahu membalas jasa ibu bapa dan keluarga banyak memberi sokongan dari semua sudut dengan cara yang membanggakan serta menggembirakan mereka. Saya juga akan berusaha memperbaiki rekod larian. Inilah ‘ubat perangsang’ untuk saya terus memperbaiki prestasi diri,” katanya.
Muhammad Nabil yang menjadikan jaguh pecut Jamaica, Usain Bolt sebagai idolanya berazam untuk tidak menoleh ke belakang dan terus komited dalam menggapai impiannya.
“Saya adalah individu yang sentiasa fokus terutama dalam tugasan harian sama ada di tempat kerja atau sukan. Prinsip saya cuma satu iaitu jangan sesekali menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang untuk berjaya. Yakinlah dengan kemampuan diri sendiri. Jika saya boleh mencapai kejayaan ini, pastinya anda juga mampu untuk lebih cemerlang daripada saya,” ujarnya mengakhiri bicara.
0 comments:
Post a Comment