Ketika semua pihak ternanti-nantikan himpunan haram BERSIH ini diadakan pada Sabtu lalu, ramai yang beranggapan, himpunan yang dimulakan pada jam 9 pagi ini akan merebak sehingga malam. Malah ada kemungkinan ianya akan kekal merebak sehingga keesokan harinya.
Pada awalnya, memang ianya dilangsungkan pada jam 9 pagi dimana beberapa lokasi seperti Dataran Maybank Bangsar, Masjid Negara, Dataran Merdeka dan Masjid Jamek, sudah dipenuhi oleh peserta baju kuning. Malah pihak polis serta penguatkuasa DBKL juga dilihat sudah bersedia berhadapan dengan apa jua ancaman yang mungkin wujud.
Sehinggalah pada waktu puncak pada jam 1 tengah hari, sebahagian besar peserta BERSIH sudah memenuhi sepanjang Jalan Pudu dihadapan Masjid Jamek.Seperti biasa, ucapan bertalu-talu kedengaran yang membangkitkan beberapa fitnah seperti Datuk Seri Mohd Najib pengamal rasuah, kerajaan kotor dan bebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Langsung para penceramah yang hadir tidak menyebut akan tuntutan awal iaitu untuk diadakan pilihan raya bersih dan adil. Langsung tidak disentuh pemerkasaan Sabah dan Sarawak seperti tertera di baju T BERSIH 5. Apa yang kedengaran hanyalah pelbagai tuduhan terhadap kerajaan dan laungan wajib pembangkang, BEBAS...BEBAS...BEBAS ANWAR!
Setelah kecewa gagal memasuki Dataran Merdeka, mungkin atas arahan Tun Dr Mahathir, perhimpunan ini secara perlahan-lahan beralih ke KLCC pada jam 3 petang. Maka berbondong-bondonglah para peserta BERSIH 5 ini ke KLCC yang jika berjalan kaki dari Dataran Merdeka, mengambil masa kira-kira 30 minit dibawah terik matahari.
Sebaik sahaja Mahathir menyampaikan ucapan "semputnya" di KLCC, para peserta BERSIH mula bersurai dengan ada diantaranya menggunakan pengangkutan awam seperti LRT dan Monorel untuk pulang. Apa yang menariknya, pergerakan pulang mereka adalah pada jam 5.30 hingga 6 petang disaat Kuala Lumpur mula ditimpa hujan.
Ini menjadikan, perhimpunan pada Sabtu lalu seperti golongan pekerja yang akan punch card pada jam 9 pagi dan pulang pada jam 5.30 petang. Ada juga diantaranya mengambil overtime dengan pulang pada jam 6 hingga 8 malam pada hari berkenaan sebelum membuat punch out.
Ini yang dibanggakan pembangkang sebagai kebangkitan rakyat? Ini yang dilaungkan Maria Chin sebagai gerakan yang mampu menjatuhkan kerajaan? Berhimpun seperti waktu orang bekerja dengan ketidak sanggupan mereka basah ditimpa hujan, ini yang dianggap pejuang oleh para pentaksub pembangkang?
Lebih menyedihkan, sebaik sahaja mereka bersurai, botol-botol arak dan sampah mencemari hadapan KLCC dan sepanjang laluan Jalan Pudu berhampiran Masjid Jamek. Juga tidak ketinggalan para pengagung LGBT turut mengambil kesempatan membawa bendera pelangi mereka ke perhimpunan ini.
Adakah mereka berhasrat untuk membenarkan LGBT dilaksanakan di negara ini? Adakah mereka juga berhasrat untuk membiarkan semua pihak merasai "nikmat" minuman keras yang sama sekali ditegah oleh Islam? Adakah ini yang dinamakan hak kesama rataan kaum? Jika inilah lambang BERSIH 5, memang patut dihalang dan dimusnahkan.
0 comments:
Post a Comment