My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 25 November 2016

    Israel Berhadapan Kebakaran Luar Kawalan



    Kebakaran belukar memaksa berpuluh-puluh ribu orang di beberapa kawasan di bandar ketiga terbesar Israel, Haifa berpindah semalam ketika anggota-anggota bomba bergelut untuk mengawal api yang semakin merebak. 

    Sebahagian penduduk terperangkap di kediaman mereka, manakala pihak tentera terpaksa mengerahkan askar simpanan untuk membantu menangani bencana itu yang masuk hari ketiga semalam.

    Pihak berkuasa Israel mendakwa bahawa kebakaran itu dilakukan dengan sengaja. Jurucakap Dewan Bandar Raya Haifa, Or Doron berkata, seramai 50,000 daripada sekitar 250,000 penduduk Haifa telah dipindahkan. Jurucakap polis Israel, Micky Rosenfeld pula memberitahu, penduduk di lapan kejiranan te­lah diarahkan berpindah ekoran enam kejadian kebakaran ber­asingan.

    “Sebanyak empat pusat penempatan sementara telah didirikan bagi menempatkan mereka,” katanya. Beberapa penduduk berkata, mereka bertungkus-lumus untuk memindahkan golongan warga emas ke kawasan selamat.

    “Kebakaran ini tidak dapat dikawal lagi dan merebak dari rumah ke rumah,” kata ketua operasi menyelamat di kejiranan Carmel, Naftali Rottenberg. Seorang penduduk Haifa, Yael Hame memberitahu bahawa situasi kini amat menakutkan selepas dia melarikan diri dari rumahnya. 

    “Kebakaran ini menelan ba­ngunan pencakar langit. Api menjulang setinggi bangunan 20 tingkat,” katanya. Menurutnya, kebakaran itu le­bih berbahaya daripada bencana serupa pada 2010 di Haifa yang mengorbankan 44 orang sekali gus kebakaran paling dahsyat dalam sejarah Israel.

    Dalam perkembangan berkaitan, seramai 30 orang dimasukkan ke hospital akibat cedera ringan dalam kebakaran semalam. Setakat ini, sebilangan negara berjanji untuk menghulurkan bantuan termasuk menghantar pesawat bagi memadamkan api.

    Agensi kaji cuaca Israel pula meramalkan kebakaran belukar kali ini akan berterusan selama beberapa hari lagi. Israel dilanda banyak kebakaran belukar sejak beberapa hari lalu akibat musim luruh yang ke­ring dan tiupan angin kuat. Selain Haifa, kebakaran belukar berlaku di serata negara Yahudi itu.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Israel Berhadapan Kebakaran Luar Kawalan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top