Bekas pemain kebangsaan Bakri Ibni menegaskan kegagalan skuad kebangsaan dalam kempen Piala AFF sebagai bukti jelas kegagalan pembangunan bola sepak tanah air. Bakri, bekas pemain skuad Olimpik 1980 berkata, kepincangan itu bukan perkara baharu namun harapan yang tinggi masih diletakkan di bahu skuad Harimau Malaysia.
“Lupakan saja pasukan kebangsaan, lupakan saja pasukan peringkat umur yang lain jika kita tidak mahu membuat perubahan kepada sistem pembangunan kita. Jika pembangunan bola sepak yang kita jalankan sekarang, dengan mewujudkan pelbagai program termasuk sekolah sukan masih belum dapat melahirkan pemain bintang, itu bermaksud pembangunan kita itu dijalankan secara tidak betul.
“Kenapa gagal? Anda jangan tanya Datuk, Tan Sri kerana mereka tidak tahu, tanya bekas pemain yang masih aktif membangunkan pemain di peringkat bawahan. Jika pasukan muda kita tidak boleh ‘pukul’ Vietnam, Thailand, Myanmar, macam mana kita nak ada pemain bagus untuk senior selepas itu,” katanya semalam.
Arena bola sepak tanah air sekali lagi menerima tamparan hebat dengan pencapaian buruk Harimau Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee yang gagal mara ke separuh akhir Piala AFF apabila tumpas 0-1 di tangan tuan rumah Myanmar dalam saingan Kumpulan B di Yangon Sabtu lalu.
Menurut Bakri, 64, yang menjaringkan salah satu gol menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam aksi penentuan kelayakan ke Olimpik Moscow, masalah di peringkat bawahan perlu ditangani.
“Kita tiada pilihan, skuad kebangsaan perlu meneruskan sasaran yang ada tapi masalah pembangunan kita perlu diatasi dengan baik. Saya pernah melihat jurulatih di sekolah sukan menaiki motosikal dan menyuruh anak buahnya berlari di jalan raya, nak buat apa?
“Umur 13-14 tahun pemain perlu lebih banyak bermain dengan bola. Tapi saya tidak menyalahkan jurulatih kerana mereka perlu dibekalkan dengan ilmu yang lengkap,” katanya yang pernah melatih skuad Perlis.
0 comments:
Post a Comment