Skuad Harimau Malaysia berdepan ujian getir apabila turun membuat perhitungan dengan Vietnam pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan B kempen Piala AFF Suzuki 2016 di Stadium Thuwunna di sini hari ini.
Ia juga bakal menentukan siapa jaguh sebenar Kumpulan B walaupun Vietnam yang terkenal dengan jolokan The Golden Stars, dilabel sebagai pasukan pilihan berbanding skuad Harimau Malaysia. Atas kertas, Vietnam tetap pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan ini, lebih-lebih lagi selepas mudah menewaskan pasukan tuan rumah, Myanmar 2-1 pada aksi pertama Kumpulan B, Ahad lalu.
Manakala Malaysia pula hampir menerima aib walaupun menang 3-2 ke atas Kemboja. Walaupun menyedari tugas sukar menanti mereka, namun barisan pemain negara tetap tidak gentar, malah bertekad untuk meraih kemenangan pada perlawanan penting itu.
Kemenangan akan mengesahkan tempat mereka ke peringkat separuh akhir lebih awal tanpa menunggu aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Myanmar nanti.
Vietnam dan Harimau Malaysia kini disebut-sebut antara pasukan yang akan layak ke pusingan separuh akhir tetapi buat pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee, beliau lebih berminat untuk memberikan fokus satu demi satu perlawanan sebelum memikirkan sasarannya.
Apa yang menarik perhatian Kim Swee adalah semangat perjuangan yang ada pada diri semua pemain negara yang bangkit dua kali selepas ketinggalan ketika menewaskan Kemboja, sekali gus berjaya menamatkan badi gagal memenangi perlawanan pembukaan Piala AFF Suzuki sejak 2008.
Bagaimanapun, pengendali berusia 45 tahun itu berharap situasi akan bertambah baik ketika berdepan Vietnam nanti. “Ia sesuatu yang bagus apabila para pemain menunjukkan karektor sebenar. Kita bangkit mengejar selepas ketinggalan dua kali dan bukan mudah bermain dalam keadaan cuaca panas.
“Namun, perkara itu sudah berlalu dan perlawanan dengan Vietnam sudah pasti menjadi aksi yang berbeza. Saya berharap kita tidak ketinggalan lagi kerana ia akan menyebabkan kita terpaksa berusaha lebih keras. Jadi, saya berharap kita bermula dengan positif pada aksi menentang Vietnam nanti,” kata Kim Swee pada sidang akhbar di hotel Novotel Yangon Max di sini semalam.
Tambah Kim Swee, beliau tidak berminat untuk memberikan tekanan kepada anak-anak buahnya meskipun mengakui sasaran utama mereka adalah untuk meraih tiga mata penuh.
“Apa yang berlaku esok (hari ini) tidak menjanjikan apa-apa kerana kita masih ada satu lagi perlawanan untuk diharungi. Vietnam kali ini adalah pasukan berbeza, mereka sudah lama bersama untuk melakukan persiapan rapi. Jadi, kita cuba untuk tidak memberi laluan mudah kepada mereka,” ujarnya.
Ketika ditanya adakah beliau akan melakukan rombakan pada bahagian pertahanan, Kim Swee bagaimanapun enggan mendedahkan rahsia itu yang sebelum ini menurunkan Shahrom Kalam, Shahrul Saad, Matthew Davies dan Rizal Ghazali.
“Memang kita ada kelemahan di bahagian pertahanan tetapi kita akan cuba memperbaikinya. Kita ada 23 pemain untuk dipilih membarisi kesebelasan utama nanti,” katanya.
0 comments:
Post a Comment