Masih terngiang-ngiang lagu Seek & Destroy yang dibawakan band heavy dan thrash metal paling berpengaruh di dunia, Metallica ketika konsert mereka di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada Ogos 2013 lalu.
Waktu itu, saya antara lebih 20,000 peminat tegar band dari Los Angeles, Amerika Syarikat berkenaan yang teruja melihat aksi mereka yang pertama kali datang ke Malaysia di depan mata. Apa yang pasti, penantian lebih 30 tahun peminat band yang dianggotai James Hetfield (penyanyi, gitar), Lars Ulrich (dram), Kirk Hammett (gitar) dan Robert Trujillo (bass) itu cukup berbaloi.
Mereka bukan saja memainkan lagu-lagu yang cukup dekat dengan peminat, tetapi memberikan aksi yang cukup bertenaga ditambah dengan produksi konsert yang canggih dan berkualiti. Kini, Metallica sekali lagi membuat peminat di rantau ini teruja apabila bakal mengadakan konsert di Stadium Tertutup Singapura pada 22 Januari tahun depan.
Bukan itu saja, peminat Metallica di seluruh dunia kini turut memperkatakan mengenai album terbaru mereka, Hardwired...To Self-Destruct yang mula dipasarkan sejak 18 November lalu. Hetfield dalam satu temu bual baru-baru ini dipetik sebagai berkata, respons positif terhadap album berkenaan mencetus semangat buat mereka untuk terus menghasilkan album dalam masa terdekat ini.
Kali terakhir Metallica merakamkan album ialah lapan tahun lalu berjudul Death Magnetic. Hardwired...To Self Destruct dijangka mampu mengembalikan era kegemilangan album seperti Ride The Lightning, Master Of Puppets dan Black Album apabila ia mencatat jualan 315,000 unit di Amerika Syarikat selepas seminggu dipasarkan.
Berdasarkan sambutan itu, ia juga dijangka menduduki tangga pertama carta album Billboard 200 minggu depan. “Kami merancang untuk mengadakan konsert jelajah dunia sekurang-kurangnya untuk dua tahun. Selain itu, dalam tempoh lapan tahun akan datang ini, kami akan terus menghasilkan lagu terbaru. Kami tidak mahu menunggu terlalu lama untuk menghasilkan album,” katanya.
Dalam pada itu, kulit album berkenaan yang menampilkan gabungan foto mereka berempat dengan wajah marah mengundang kecaman segelintir peminat, malah ia dikatakan rekaan kulit album paling buruk berbanding album mereka sebelum ini. Namun, Hetfield berpendapat ia antara kulit album mereka yang paling ‘cool’.
“Bagi saya ia idea yang menarik. Wajah kami berempat dengan ekspresi dan emosi marah yang digabungkan dalam satu gambar itu cukup menarik dijadikan sebagai kulit album,” katanya. Hardwired...To Self-Destruct yang juga album berkembar mengandungi 12 lagu dengan durasi hampir 80 minit kini menduduki tangga teratas dalam carta album di 57 negara.
Sementara itu, dalam usia melebihi 50 tahun, mereka juga terus aktif dengan konsert jelajah dunia selain tetap bertenaga di atas pentas. Hetfield kini berusia 53 tahun, manakala Ulrich, 53; Hammett, 54; dan Trujillo, 52.
Namun, itu bukan halangan untuk mereka dari terus bermain muzik. “Kami sentiasa jujur dengan diri sendiri dan muzik yang kami hasilkan. Kami juga cuba untuk tidak mengecewakan di antara satu sama lain. Selain keluarga, Metallica adalah kehidupan kami.
“Bermain di konsert jelajah dalam usia 53 tahun dan orang mula membandingkan kami dengan band seperti The Rolling Stones. Ia sangat menarik dan saya sukakannya kerana mereka adalah contoh terbaik buat kami. Bagaimanapun, muzik mereka tidak sama dengan Metallica yang lebih memerlukan tenaga.
“Untuk itu kami perlu memastikan kami sentiasa sihat. Walaupun melepak di bar pada sebelah malam, tapi kami akan memastikan dapat tidur yang cukup. Kami juga mempunyai seorang instruktor yang memastikan kami menjaga kesihatan, bersenam dan mengambil makanan yang sihat.
"Saya tahu gaya hidup kami sudah berubah. Lagipun saya mahu terus hidup untuk melihat cucu-cucu saya selain terus mengadakan konsert,” kata Hetfield.
0 comments:
Post a Comment