Dengar saja istilah mafia, anak muda mula membayangkan keganasan geng kongsi gelap ini yang membuat onar di ibu kota negara Barat. Untuk menyampaikan naratif yang benar-benar memberi impak melalui teknik penceritaan berkesan berkonsepkan mafia diakui sukar.
Namun, tiada yang mustahil bagi Hangar 13, studio ‘game’ baru diterajui oleh Haden Blackman. Beliau veteran dalam industri pembangunan permainan video jika dinilai daripada pengalamannya. Dari segi penceritaannya, keluaran terbaru studio ini iaitu Mafia 3 lengkap dengan teknik penceritaan menarik mengenai seorang lelaki yang bermotifkan dendam.
Watak utama iaitu Lincoln Clay, pesara Perang Vietnam yang mempunyai misi nyata untuk membalas dendam kepada geng Mafia dari Itali. Latar tempat iaitu New Bordeaux pada tahun 1968 dipilih sebagai simbolik untuk teknik penceritaan. Jika dinilai dari segi plot, Mafia 3 menyampaikan kisah hidup masyarakat dan masalah perkauman dengan berkesan.
Ini boleh dilihat melalui gambaran kemelut antara organisasi kongsi gelap. Dalam beberapa babak pada jam pertama, Clay dilihat menjejaki ketua mafia yang juga pesaingnya. Pendek kata, anda bermula dari bawah dengan membina empayar kongsi gelap di samping merekrut lebih ramai sekutu untuk menjaga daerah masing-masing.
Pengenalan watak Clay juga menunjukkan betapa terkesan hidup seseorang apabila dilayan tidak adil dan dikritik oleh masyarakat sekeliling kerana warna kulit yang menyokong isu rasis ingin diketengahkan.
Kandungan baru
Berpaksi pada konsep dunia terbuka (open world), Mafia 3 sememangnya mengungguli genre ini. Ini kerana jika dibandingkan dengan Mafia 2 kira-kira enam tahun lalu, jelas berbeza. Interaksi hadir dalam bentuk penembakan perspektif ketiga (third person) bergantung pada elemen ‘stealth’ iaitu keupayaan anda menyorok dan tembak.
Tidak cukup dengan itu, anda memiliki keupayaan untuk menyerang hendap musuh di sebalik bayangan menggunakan pisau, tidak ubah seperti Rambo. Bagaimanapun, di sebalik keseronokan mengatur setiap serangan hendap, kelemahan sistem kecerdasan artifisial (AI) Mafia 3 mula ketara di sini.
Setiap kali Clay melakukan pembunuhan, pihak lawan seolah-olah tidak menyedari rakannya dibunuh berdekatan. Begitu juga dengan pengawal yang mudah ditumpaskan tanpa strategi berkesan.
INFO
• Perlawanan dengan ketua ‘kawasan’ bagi setiap daerah berlaku di tempat yang direka khas.
• Anda perlu menyiapkan misi menakluk daerah untuk berdepan dengan ketua itu.
• Misi sampingan agak membosankan dan membuang masa untuk mendapatkan kepercayaan ‘underbosses’.
• Anda perlu membuat keputusan sukar untuk meyakinkan orang penting ini dan pada masa sama, menjaga daerah yang ditakluk.
• Jika mendapat kepercayaan, anda beroleh keupayaan untuk memboloskan diri daripada polis dan memanggil rekrut.
0 comments:
Post a Comment