PUCAT lesi wajah Emylia Natasha Mohd. Faizal, 12, apabila menyaksikan sendiri beberapa orang rakannya meracau-racau dan bertindak agresif seperti dirasuk sesuatu.
Sedar tidak sedar, dia tiba-tiba terasa tapak kaki dan bahunya sakit sebelum pemandangan bertukar gelap.
“Saya tidak ingat apa yang berlaku dan hanya mengetahui diserang histeria selepas dimaklumkan oleh guru dan rakan selepas kejadian itu berakhir,” ujarnya. Emylia yang juga murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Pasoh 3, Jempol, Negeri Sembilan, bukan satu-satunya mangsa histeria di sekolah tersebut.
Sejak lebih tiga bulan lalu, SK Pasoh 3 diselubungi kejadian misteri apabila kira-kira 30 murid tahun tiga hingga enam diserang histeria antara pukul 9 hingga 11 pagi hampir setiap hari. Lebih memburukkan keadaan, murid yang dirasuk menunjukkan perangai seperti harimau dengan mencakar-cakar dinding dan bergaduh sesama mereka setiap kali diserang histeria.
Kejadian histeria yang menjadi sebahagian daripada tajuk utama berita media tempatan itu bukanlah suatu perkara baharu. Awal tahun ini, negara digemparkan dengan kejadian histeria yang berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 2, Kota Bharu, Kelantan sehingga menjejaskan lebih 100 pelajar dan guru.
Belum pun reda, timbul pula gangguan histeria membabitkan lebih 30 pelajar perempuan termasuk seorang guru wanita di tiga buah sekolah lain di Kota Bharu iaitu SMK Pengkalan Chepa 1, SMK Kemumin dan SMK Kubang Kerian 3 yang masing-masing berlaku pada bulan April tahun sama.
Hilang kawalan
Bagai pandemik, gangguan itu seolah-olah ‘berjangkit’ dengan beberapa lagi kejadian histeria dilaporkan di beberapa sekolah lain di seluruh negara. Tinjauan rambang kru Jurnal mendapati, kira-kira 150 pelajar termasuk guru dari lima buah sekolah di seluruh negara dilaporkan diserang histeria antara bulan April hingga November tahun ini.
Lazimnya, kejadian histeria sering dilihat daripada perspektif berbeza termasuklah sudut pandangan agama, aspek psikiatri dan psikologi. Pakar Psikiatri Hospital Pakar Ampang Puteri, Selangor, Prof. Dr. Azhar Md. Zain berkata, histeria merupakan salah satu daripada penyakit yang gejalanya adalah fizikal atau somatik atau lebih dikenali sebagai gangguan konversi (conversion disorder).
“Punca histeria terdiri daripada beberapa faktor yang berlaku secara serentak. Biasanya ada faktor fizikal yang mempengaruhi seperti hipometabolisme hemisfera dominan dan hipermetabolisme hemisfera bukan dominan otak yang mengakibatkan gangguan komunikasi pada organ itu.
“Jika terdapat faktor stres yang kuat dan kronik serta berpanjangan berlaku pada masa sama, ia boleh mencetus sindrom gangguan konversi atau histeria,” jelasnya ketika dihubungi kru Jurnal baru-baru ini.
Ditanya bagaimana histeria mempengaruhi pesakit sehingga bertukar tabiat seperti merangkak, berubah suara dan lebih kuat daripada tenaga sebenar, Azhar memberitahu, ia dipengaruhi sistem neurologi atau saraf.
“Semua organ motor dan sensori boleh terlibat. Dalam hal ini, sistem motor akan menyebabkan tingkah laku seperti pergerakan berubah tanpa kawalan pesakit, manakala sistem sensori akan mengakibatkan sensasi rasa berubah seperti panas, sejuk dan tidak sakit walaupun terluka atau terbakar.
“Kombinasi motor dan sensori juga mampu mengubah suara sebab melibatkan kedua-dua sistem. Dengan tiadanya kawalan pada gate function otak, pesakit juga tidak berasa takut pada masa itu bahkan boleh menjadi lebih kuat kerana menggunakan keseluruhan tenaga tanpa had seperti biasa.
“Semua ini berlaku tanpa pesakit sedar dan tidak dibuat-buat. Pesakit hilang kawalan sepenuhnya,” ulas Azhar. Beliau yang juga bekas Dekan Fakulti Perubatan Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, turut menyifatkan pesakit boleh mendapat histeria jika terlalu takut kepada benda ghaib.
“Ketakutan berterusan pada benda ghaib juga dianggap stres dan jika pesakit ada masalah fizikal seperti jangkitan virus sehingga menyebabkan daya tahan tubuh lemah, mereka mudah terdedah kepada serangan histeria.
“Ditambah lagi tekanan lain sehingga tiada ruang untuk lepaskan stres lalu sampai ke tahap di mana sistem komunikasi otak terpadam dan ini boleh menyebabkan pesakit terkena histeria. Jika ada rakan lain yang mengalami tekanan hampir sama berdekatan pesakit, mereka boleh terjangkit mendapat histeria. Keadaan ini mencetuskan panik dan orang yang lemah boleh terjangkit sekali,” katanya.
Syaitan kuasai akal
Sebagai langkah pengubatan, Azhar menyarankan agar kaedah rawatan yang diberikan perlulah mengikut punca histeria. “Sekiranya ada penyebab gangguan neurologi pada indeks kes, maka rawatan sewajarnya perlu diberi berdasarkan puncanya. Bagi mangsa lain yang terjangkiti, boleh diberi rawatan kaunseling serta ubat bersesuaian bergantung kepada gejala yang ditunjukkan,” ujarnya.
Sementara itu, pengamal perubatan Islam, Datuk Shamsuri Shafie mendakwa, histeria atau penyakit gangguan jin berpunca daripada gangguan makhluk halus yang memasuki badan manusia melalui pembuluh darah sehingga mengganggu kewarasan akal dan jiwa mereka.
Menurutnya, rohani individu yang berada dalam keadaan lemah dan tidak stabil sehingga fizikal dan mental di luar kawalan membolehkan jin serta syaitan mengambil peluang untuk menyerang akal lalu menyebabkan mereka hilang pertimbangan diri.
“Apabila emosi tidak terkawal dan minda sentiasa tertekan, syaitan mula mengambil tempat dengan menguasai akal fikiran serta menyerang otak manusia dan ketika inilah histeria boleh menyerang,” katanya yang juga Pengasas Pusat Rawatan Islam At-Tobibi.
Berbeza dengan kaedah rawatan moden, Shamsuri berpendapat, amalan membaca ayat-ayat suci al-Quran adalah penawar terbaik kepada gangguan histeria.
“Pertamanya, ahli keluarga atau orang sekeliling jangan mudah panik apabila ada serangan histeria. Dari segi kaedah rawatan juga kalau boleh jangan campurkan perubatan Islam dengan rawatan lain berbentuk khurafat. Selain boleh memesongkan akidah, ia dikhuatiri boleh memudaratkan keadaan.
“Kemudian baca ayat suci al-Quran seperti Kursi dengan niat sebagai benteng daripada gangguan syaitan selain menjadikannya amalan harian bagi mendapat syafaat Allah. “Pun begitu, ia bukan setakat perlu yang dibaca, malah maksud-maksud di sebaliknya juga harus difahami serta dihayati sebagai pelindung daripada kejahatan syaitan,” ujarnya.
0 comments:
Post a Comment