Dalam aksi itu, skuad negara dikejutkan gol pembukaan seawal minit kelapan daripada Chan Vathanaka yang didakwa berada dalam keadaan ofsaid. Biarpun penolong pengadil mengangkat bendera ofsaid tetapi pengadil utama, Abdul Baqi Yaqoob Said Abdullah mengarahkan permainan diteruskan, sekali gus Vathanaka yang telah berjaya melepasi kawalan pemain pertahanan dengan mudah menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Bagaimanapun, skuad Harimau Malaysia berjaya merakamkan tiga mata berharga apabila Syazwan Zainon menyamakan kedudukan (m-37) sebelum kapten, Amri Yahyah meledak dua gol (m-69 dan m-80), sekali gus menafikan impian Kemboja untuk meraih sekurang-kurangnya keputusan seri selepas Vathanaka turut meledak gol kedua pada minit ke-59.
Mengulas lanjut, Kim Swee tanpa berselindung mengakui bahawa beliau masih perlu melihat semula pita rakaman mengenai situasi itu dan mendedahkan insiden tersebut telah memberikan pengajaran kepada anak-anak buahnya.
“Gol pertama, apa yang saya dapat (lihat)... saya tidak berapa pasti. Saya perlu melihat situasi tersebut semula yang mana penolong pengadil mengangkat bendera ofsaid dan itu menyebabkan semua pemain terhenti.
“Bukan sahaja pemain Malaysia tetapi pemain Kemboja juga. Namun, pengadil mengarahkan permainan diteruskan. Ini menjadi tanda tanya dan seperti saya katakan, saya perlu teliti apa yang berlaku sebenarnya.
“Ini akan memberikan suatu pengajaran buat semua pemain kita yang mana kita harus bermain mengikut wisel, bukan mengikut bendera,” katanya pada sidang akhbar sebaik tamat perlawanan.
Dalam perkembangan sama, pengendali kelahiran Melaka itu tetap menarik nafas lega apabila skuad Harimau Malaysia berjaya bangkit selepas dua kali ketinggalan ketika menentang pasukan bimbingan Lee Tae-hoon.
Jelas Kim Swee, beliau yakin bahawa skuad kendaliannya akan memperbaiki beberapa kelemahan dan rentak persembahan akan bertambah lebih baik ketika bertemu Vietnam pada aksi kedua di venue yang sama Rabu ini.
“Satu kemenangan sukar seperti saya jangkakan. Paling mustahak kami berjaya bangkit meskipun kami bolos dengan dua gol ‘bodoh’ dan sudah tentu gol pertama (Kemboja). Kami perlu melihat kembali situasi di mana banyak kekeliruan berlaku di situ.
“Secara keseluruhan, kedua-dua pasukan, berdasarkan cuaca panas, bergelut untuk mengekalkan rentak terbaik dalam 90 minit. Kemenangan memang tujuan utama kita. Yang penting di sini kita dapat bangkit setelah ketinggalan dua kali dan kita tahu jika kita hanya mendapat satu mata, ini akan memberikan kita lebih tekanan.
“Seperti saya katakan sebelum perlawanan, kita perlu mendapatkan kemenangan dan ini kita inginkan. Saya pasti perlawanan kedua kita perlu lebih baik daripada apa yang kita tunjukkan pada perlawanan pertama,” katanya.
Dalam perkembangan yang berasingan, Vietnam telah mengejutkan tuan rumah, Myanmar dengan kemenangan 2 - 1. Ia adalah pemulaan buruk Myanmar di arena sendiri pada kejohanan yang dilangsungkan secara dwi tahunan ini.
0 comments:
Post a Comment