Tukang kebun yang meninggal dunia dipanah petir, Fazlie Lai Fauzie, 36, sempat bermain dengan anak bongsunya yang berusia dua minggu pada pagi sebelum kejadian. Fazlie dipanah petir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Peter Majuntin, Penampang, jam 3.30 petang kelmarin.
Malah, Fazlie sempat menitipkan pesanan terakhir buat isterinya, Martina Sayah, 35, supaya menjaga anak mereka, Jeffery dengan penuh kasih sayang. Menurut Martina, ketika bermain dengan Jeffery, arwah memaklumkan akan berusaha menjaganya supaya dia menjadi insan yang berjaya.
“Besar harapan arwah supaya Jeffery dapat mengubah nasib keluarga. Arwah kemudian terus ke tempat kerja,” katanya ketika ditemui di Hospital Queen Elizabeth (HQE), semalam. Katanya, arwah turut memintanya memasak nasi goreng sebelum bermain dengan Jeffery.
“Tahun depan, arwah merancang untuk ke Indonesia dan membawa tiga anak kami berusia 12, 11, dan tujuh tahun yang dijaga ibu saya kembali ke Malaysia,” katanya.
Menceritakan kejadian, Martina berkata, dia dimaklumkan berkaitan tragedi terbabit oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang yang menghubunginya, jam 9.30 malam. “Kebiasaannya, arwah akan pulang ke rumah jam 5 petang namun sehingga jam 6 petang, dia masih belum pulang. Saya bimbang kerana arwah tidak pernah lewat.
“Anggota polis berkenaan meminta saya bertenang sebelum memaklumkan suami meninggal dunia. Saya pilu kerana bergantung harap kepada arwah yang rajin bekerja untuk menanggung kehidupan kami sekeluarga,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Rosley Hobden berkata, rakan sekerja Fazlie, Maidah Banir, 46, yang parah dalam kejadian itu masih dirawat di HQE.
0 comments:
Post a Comment