Beratus-ratus etnik Islam Rohingya di barat Myanmar terpaksa melarikan diri ke Bangladesh untuk mengelak daripada menjadi mangsa kekejaman tentera Myanmar apabila angka kematian kini telah mencecah kepada 130 orang.
Sejumlah etnik itu ditembak mati ketika mereka cuba menyeberangi sungai Naaf yang memisahkan antara Myanmar dan Bangladesh. Sebilangan daripada mereka yang tiba dengan menggunakan bot pula diusir oleh pengawal sempadan Bangladesh mengakibatkan mereka terkandas di laut.

Pihak tentera dilihat semakin ramai di sepanjang kawasan Myanmar dan Bangladesh apabila mereka berbalas serangan dengan pemberontak di tiga pos sempadan pada 9 Oktober lalu menyebabkan sembilan anggota polis terbunuh.
Malah, mereka turut menutup daerah yang didiami penduduk Rohingya selain menghalang petugas bantuan dan pemerhati bebas daripada memasuki kawasan berkenaan. Pasukan tentera dikatakan telah mempergiatkan operasi sejak tujuh hari lalu dan turut menggunakan helikopter untuk menggempur beberapa perkampungan Rohingya.
Pihak berkuasa di Bangladesh menganggarkan sekurang-kurangnya 5,000 Rohingya melarikan diri dari Myanmar sejak serangan Oktober lalu. Pelarian berkenaan kini menetap di empat kem Rohingya di sempadan Bangladesh, namun pada Selasa lalu, pengawal sempadan menghalau sekumpulan besar etnik berkenaan daripada menyeberangi sungai Naaf.

Sementara itu, Ketua Polis Maungdaw, Kyaw Mya Win mendakwa, mereka melarikan diri kerana gagal menyerang pihak tentera. “Penduduk kini menjadi pemberontak termasuk wanita di kawasan perkampungan berkenaan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment