My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 29 November 2016

    Buat Kajian Budaya Minum Kopi


    Sebaik kaki melangkah memasuki Kafe Jigar di Bangi Sentral, serentak suara pelayan menyambut ketibaan pelanggan dengan kata-kata ‘selamat datang’ sambil bibir mengukir senyuman manis. Bagi peminat minuman berkafein mungkin suasana sebegini seakan-akan sama sekiranya mereka pernah mengunjungi kafe di sekitar Asia seperti Korea, Jepun, Indonesia atau Vietnam. 

    Jelas pemilik Kafe Jigar, Basuki Yusof, pengalaman ketika berkunjung ke luar negara, dia melihat industri kafe membabitkan minuman berkafein sangat menggalakkan, terutama di Jepun dan Korea. Malah di negara jiran, seperti Acheh, Indonesia terdapat pelbagai jenis kedai kopi dengan jenama kopi mereka sendiri.

    Ini menunjukkan industri ini berkembang pesat, di Malaysia walaupun masih baru namun menampakkan pertumbuhan positif apabila pada tahun ini saja banyak kafe hipster tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

    Apa yang membezakan adalah rasa kopi itu sendiri. Sebagai penggemar kopi, setiap kali bercuti ke luar negara dia akan cuba merasai keistimewaan kopi yang disajikan. Misalnya di Itali kopinya penuh dengan aroma, sedikit pekat dan pahit. Begitu juga di Jepun dan Korea. Namun Basuki mengakui dia adalah peminat kopi O kerana lebih asli dan rasa yang tersendiri.

    “Sebelum memberanikan diri membuka kafe saya terlebih dulu membuat pelbagai kajian mengenai budaya minum kopi di Malaysia. Saya juga mencuba pelbagai jenis kopi di Malaysia sama ada yang sudah ada nama atau baru. Di Bangi sendiri banyak kafe menyajikan konsep unik dan pelbagai. Namun ia tidak menjadi masalah untuk saya mencuba.

    “Dalam keadaan ekonomi sekarang industri minuman dan makanan masih mampu bertahan berbanding bidang lain. Menyedari peluang yang cerah dalam industri makanan, saya terfikir untuk membuka kedai kecil dengan menyajikan minuman kopi saja. Namun selepas berbincang dengan anak, mereka memberikan cadangan agar membuka kafe berkonsep yang bukan saja menyajikan minuman tetapi makanan Barat dan Melayu,” katanya.

    Disebabkan Basuki sendiri gemar menikmati pelbagai jenis makanan sementara isterinya berpengalaman dalam bidang masakan maka impian untuk membuka Kafe Jigar dapat direalisasikan dengan sokongan anak.

    Keunikan nama Jigar

    Mengandaikan ia seperti perniagaan keluarga, Basuki menyerahkan 100 peratus perancangan mengenai konsep dan pengurusan kepada anaknya, Noor Atikah, 26, dan menantu, Fazly Abd Rahim, 33, yang dilantik sebagai pengurus. Untuk itu Basuki memberi peluang anaknya mencipta konsep kafe yang lebih santai dan sesuai untuk keluarga.

    Menu makanan pula adalah berasaskan makanan Barat dengan tambahan masakan Melayu yang enak berasaskan cita rasa pelanggan.

    “Sebagai bapa saya sekadar menjadi penasihat untuk melihat kelancaran perniagaan. Usia kafe yang masih baru memerlukan kesabaran dan kesungguhan bagi memastikan ia benar-benar kukuh, tambahan pula dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Namun saya percaya industri makanan berpaksikan kepada layanan, kualiti dan rasa makanan serta keselesaan menjadi faktor utama,” katanya yang turut mempunyai perniagaan lain sebelum ini.

    Menyedari namanya yang unik ramai bertanya asal usul perkataan Jigar. Katanya, perkataan Jigar diambil bersempena nama gelaran moyang yang berasal dari Indonesia. Dulu dia bertugas sebagai pemukul beduk dan orang kampung memanggilnya ‘Jigar’.

    “Saya berasakan perkataan Jigar sangat unik dan ada nilai tersendiri. Selepas berbincang dengan keluarga akhirnya kami sepakat memilih nama Jigar untuk kafe ini,” katanya yang sebelum ini bekerja dalam industri makanan bersama Nestle.

    Menurut Noor Atikah pula, selepas menamatkan pengajian dalam jurusan Pengurusan Sumber Manusia di Universiti Teknologi MARA (UiTM), dia diberikan peluang untuk menguruskan Kafe Jigar. Peluang diberikan bapa digunakan sepenuhnya bagi mencari konsep sesuai yang mampu memberikan keselesaan kepada pelanggan.

    “Saya mengandaikan diri adalah pelanggan yang sering minum di kafe dan membayangkan apa saya mahu. Sudah pasti layanan menjadi faktor utama selain keenakan hidangan dan keselesaan. 

    “Menyedari hal ini saya mencetuskan konsep kafe untuk keluarga dengan suasana santai dan tenang. Alunan muzik perlahan mampu memberikan rasa segar kepada pengunjung. Malah susun atur perabot berunsurkan kayu adalah hasil rekaan kami sendiri,” katanya yang mempunyai enam staf termasuk tukang masak.

    Hidang makanan pantas dan sedap

    Tidak lengkap berkunjung ke sini tanpa merasai hidangan istimewa seperti chicken golden blue, lamb chop dan manisan istimewa puding roti manakala hidangan Melayu pula mi rebus, nasi berlauk dan churros bersama sos coklat. Ada lebih 30 menu utama dengan 20 jenis minuman sejuk dan panas disajikan. Setiap tiga bulan ada menu baru diperkenalkan bagi memberikan pilihan pelbagai kepada pelanggan.

    “Ini antara strategi yang kami jalankan kerana pelanggan gemar mencuba sesuatu yang baru. Menu yang disukai pelanggan biasanya kami kekalkan, manakala yang kurang mendapat sambutan akan cuba diubah suai mengikut cita rasa pelanggan. Apa yang pasti semua hidangan menjanjikan keenakan tersendiri terutama masakan Barat serta minuman kopi yang enak,” kata Noor Atikah.

    Pada masa akan datang Basuki berharap dapat membuka kafe di pasar raya bagi mengukuhkan nama sebaris dengan jenama kedai kopi sedia ada di Malaysia. Dibuka setiap hari dari jam 11 pagi hingga 11 malam kecuali Jumaat, bagi mereka yang ingin merasai keenakan menu di Kafe Jigar atau merasai suasana santai boleh melayari Instagram @jigarcafe atau datang sendiri ke Bangi Sentral.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Buat Kajian Budaya Minum Kopi Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top