Beratus-ratus etnik Rohingya tiba di Bangladesh selepas melarikan diri dari keganasan di Rakhine, Myanmar, membawa bersama mereka cerita mengenai kekejaman tentera negara itu yang membunuh penduduk dan membakar kampung.
Dalam pada itu, Bangladesh berkata, ia menghalang ratusan lagi masyarakat berkenaan walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merayu Dhaka membuka sempadannya selepas 30,000 etnik itu kehilangan tempat tinggal akibat keganasan tentera Myanmar dan pengganas Buddha di Rakhine.

Kebanyakannya yang berlindung di kem yang disediakan untuk 32,000 pelarian Rohingya berdaftar yang sudah sedia ada di timur Bangladesh, bimbang mereka akan diusir jika ditemui pihak berkuasa.
Mohammad Amin, 17, berkata, dia dan 15 yang lain melarikan diri dari kampung mereka di Rakhine lima hari lalu dan tiba di Bangladesh dengan berenang merentasi Sungai Naf yang memisahkan kedua-dua negara.
“Tentera Myanmar membunuh bapa dan abang saya. Saya bersembunyi di sebuah bukit kemudian berjalan sebelum berenang merentasi sungai dan berlindung di sebuah masjid di Bangladesh,” katanya menerusi telefon.
“Di kampung saya dan kawasan berhampiran, saya hanya melihat rumah dibakar. Saya tidak tahu apa yang berlaku pada ibu dan adik perempuan saya,” katanya. Zohra Khatun, 25, tiba di Bangladesh bersama tujuh anaknya selepas kampung mereka musnah dibakar tentera Myanmar. Mereka kini dibantu seorang saudara yang berada di kem pelarian di Bangladesh.
“Kami menanti dua hari sebelum berpeluang menyeberang sungai untuk tiba di sini,” kata Khatun menerusi telefon.

“Kami mendengar pelbagai cerita menggerunkan daripada mereka. Sebahagian mereka terpaksa merasuah pegawai untuk memasuki sempadan Bangladesh,” kata seorang petugas hak asasi manusia yang melawat kem pelarian di Bangladesh.
0 comments:
Post a Comment