My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 28 November 2016

    Orang Muda Perlu Bijak Kawal Perbelanjaan




    KOS sara hidup yang semakin tinggi seharusnya menyedarkan masyarakat terutamanya golongan muda tentang kepentingan mengawal perbelanjaan selain membuat simpanan persendirian. Golongan itu juga disaran supaya tidak perlu terlalu bergantung pada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk masa tua. 

    Mereka seharusnya tidak terlalu taksub dengan gaya hidup mewah dan termakan dengan pelbagai promosi jualan murah atau harga mampu milik seperti pakaian, barangan perhiasan serta telefon bimbit. Rata-rata golongan muda yang ditemui berpendapat, mereka perlu memikirkan dan mengimbangi keperluan serta kehendak mereka agar tidak menyesal pada masa hadapan.

    Pembantu Penguasa Kastam, Azila Harun, 32, berkata, masyarakat pada masa kini tidak boleh bergantung pada satu punca pendapatan sahaja kerana tidak dapat menampung kehidupan dengan keadaan kos sara hidup yang tinggi.

    Jimat-cermat

    “Agak susah hendak menyimpan sebab pendapatan saya sebulan kira-kira RM2,000, itu sebelum potongan KWSP, bayaran kereta dan rumah. Jadi, perbelanjaan memang kena banyak berjimat cermat. Kalau tidak, susah hendak membayar bil-bil yang lain,” katanya.

    Azila yang telah bekerja selama tujuh tahun di dalam sektor kerajaan kini bergantung sepenuhnya pada simpanan yang dilakukan di Takaful Ikhlas, Tabung Haji dan KWSP yang bernilai secara keseluruhan RM50,000.

    “Jumlah simpanan itu memang tidak akan cukup untuk masa pencen nanti sebab harga barang sekarang makin meningkat. Berdasarkan gaji sekarang ini, ia agak susah,” katanya.

    Selain itu, dia juga membuat perancangan untuk menceburi dunia perniagaan dengan membuka sebuah kedai roti dalam tempoh tiga tahun akan datang selain menyimpan hasrat untuk menunaikan ibadah haji bersama keluarganya. Katanya, kerajaan juga perlulah menggalakkan budaya menabung sejak kecil agar ia menjadi amalan sihat yang berterusan.

    Akauntan sebuah syarikat swasta, Siti Masita Yusuf, 27, juga berpendapat, jumlah caruman di KWSP kini mungkin tidak dapat menampung masa depan mereka kerana kos sara hidup yang kian meningkat.

    “Harga barang meningkat setiap tahun. Jadi, kita perlu mencari sumber pendapatan yang lain untuk simpanan selain KWSP dan kegunaan pada masa-masa yang akan datang terutamanya ketika dalam kecemasan.

    “Kerajaan perlu mencari cara yang lebih efektif untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup yang makin tinggi selain meningkatkan pendapatan golongan yang berpendapatan sederhana,” katanya.

    Menurutnya, dia yang berpendapatan hampir RM4,000 hanya mampu menyimpan RM600 sebulan kerana menanggung keperluan dan perbelanjaan keluarganya. “Saya anak sulung, jadi saya menanggung biaya persekolahan tiga adik saya selain membantu kedua-dua ibu bapa saya yang telah pencen. Itu belum kira duit bayar rumah, kereta, minyak, dan perbelanjaan lain,” katanya.

    Tambah Siti Masita, dia juga membuat pinjaman pelaburan di Amanah Saham Bumiputera (ASB) selain menjalankan perniagaan dalam talian untuk menambah sumber pendapatan.

    Bantuan

    Bagi pemilik perusahaan bengkel Fateh Tyre and Services, Mohd. Effendi Abdul Talib pula, orang ramai harus lebih peka dengan peluang yang diberikan oleh kerajaan terutamanya yang melibatkan bantuan kepada usahawan kecil.

    “Saya sering kali mendengar rintihan dan keluhan golongan muda yang tidak tahu langkah-langkah serta persediaan awal dalam memulakan perniagaan. Jadi, kerajaan pun rugi sebab ada antara mereka ini memiliki idea-idea yang bagus untuk dikembangkan,” katanya.

    Mohd Effendi, 28, juga percaya bahawa golongan muda tidak boleh bergantung kepada KWSP semata-mata untuk menyara kehidupan selepas bersara. Tambahnya, dia kini dalam perancangan untuk membuka bengkel kedua setelah bengkel pertama yang diusahakannya selama setahun mendapat sambutan yang menggalakkan.

    “Saya lebih suka melabur pada aset-aset yang boleh menjana pendapatan seperti mesin dan peralatan bengkel kerana ia mampu memberikan pulangan untuk saya terus melabur dan mengumpul aset yang lain,” katanya.

    Menurutnya, kerajaan juga perlu memberikan perhatian kepada usahawan perusahaan kecil dan membantu mereka yang berpotensi untuk dibangunkan serta tidak terlalu fokus kepada perniagaan bersaiz besar.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Orang Muda Perlu Bijak Kawal Perbelanjaan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top