Perintah berkurung di kawasan perairan di tujuh daerah di Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir semalam, akan dilanjutkan sehingga 13 Dis, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun.
Abdul Rashid berkata perintah berkurung yang berkuat kuasa dari 6 petang hingga jam 6 pagi itu membabitkan kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Keperluan untuk meneruskan perintah berkurung ialah untuk memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong luar negara yang melawat pulau peranginan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Abdul Rashid berkata berdasarkan maklumat yang diterima, kumpulan pengganas Abu Sayyaf dan penjenayah dari selatan Filipina yang melakukan penculikan untuk mendapat wang tebusan, masih cuba menceroboh untuk melakukan jenayah rentas sempadan.
Beliau juga berkata perintah berkurung itu diteruskan bagi menjamin keselamatan pengguna perairan tersebut serta mereka yang tinggal di kawasan daratan ESSZone.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di kawasan ESSZone untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon bagi tujuan aktiviti perikanan atau laluan melalui kawasan perintah berkurung yang mendesak,” katanya.
0 comments:
Post a Comment