My Blog List

Translate

  • PANAS

    Sunday, 27 November 2016

    PDRM Timbang Briged Khas Jaga Sempadan



    Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mempertimbang untuk mewujudkan satu pasukan khas bagi memantapkan lagi kawalan keselamatan dan menangani jenayah rentas sempadan. Menurut Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman, tugas itu setakat ini dipikul Pasukan Gerakan Am (PGA) yang merupakan satu unit menggalas pelbagai peranan dan mempunyai tanggungjawab luas. 

    “Kita (ada pasukan) dipanggil Agensi Keselamatan Sempadan. Perancangan kita, mungkin menempatkan satu briged di Semenanjung dan satu briged lagi di Sabah dan Sarawak. Memang PGA ditugaskan tetapi kita mahu briged khas menjaga sempadan tapi setakat ini kita belum ada penjawatan lagi, namun itulah hasrat kita,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Upacara Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas PGA Siri 1/2016 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching, Jalan Puncak Borneo, di sini, semalam.

    Hadir sama, Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Sarawak SAC Zamani Tan Sri Hamdan Sirat, Komander PGA Briged Sarawak AC Khaw Kok Chin dan Komandan PULAPOL Kuching SAC Azman Salim. Sabtu berkata, pihaknya akan sentiasa melihat keperluan untuk meningkatkan pasukan dari semasa ke semasa termasuk penambahan anggota di kawasan sempadan.

    “Kita melihat keperluan kawasan sempadan seperti di Serikin dan Tebedu. Jika ada keperluan, maka kita akan tingkatkan kekuatan anggota,” katanya.

    Beliau memberitahu, secara keseluruhan keadaan ketenteraman awam di negara ini terjamin meskipun ada insiden tidak diingini seperti pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah pada Februari 2015. Insiden itu katanya, harus membuka mata semua pihak bahawa hal keselamatan negara tidak boleh dipandang ringan.

    Oleh itu katanya, PDRM khususnya PGA perlu mempersiap diri dengan pelbagai kemahiran dan latihan menghadapi termasuk membanteras semua jenis ancaman dalam bentuk ketenteraman awam, aktiviti subversif, keganasan atau pemberontakan bersenjata.

    Latihan selama tiga bulan mencabar dari segi fizikal dan mental itu disertai seramai 168 anggota dan PDRM berhasrat melatih lebih ramai lagi anggota pada tahun depan. Jumlah 168 itu katanya, merupakan sebahagian daripada 800 anggota yang baharu ditukarkan ke dalam PGA.

    “Setakat ini pegawai wanita banyak buat (kerja) pentadbiran. Tetapi pada masa hadapan, mereka juga perlu menjalani latihan PGA ini,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: PDRM Timbang Briged Khas Jaga Sempadan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top