SEBENARNYA, ramai antara kita terlibat dalam dunia pemasaran secara langsung atau sebaliknya. Ahli akademik dalam bidang itu menyatakan, ledakan Gelombang Baharu Pemasaran (New Wave Marketing) hanya penggantian penggunaan beberapa istilah pemasaran baharu bagi menggantikan istilah-istilah pemasaran lama yang terdapat dalam bidang pemasaran yang paling asas.
Ia kelihatan seperti ada kebenarannya apabila kita hanya melihat kemajuan dalam bidang ini daripada perspektif umum. Ramai ahli pemasaran termasuk ahli akademik di pusat pengajian tinggi yang menawarkan jurusan pemasaran beranggapan bahawa pengenalan istilah-istilah ini adalah berpunca daripada perkembangan dunia teknologi yang menjadi pemangkin perkembangan dunia pemasaran pada hari ini.
Memang tidak dapat dinafikan, wujudnya aplikasi-aplikasi atas talian baharu melalui kemajuan teknologi mendorong kepada pengenalan istilah-istilah tersebut.
Platform
Namun, mereka juga tidak dapat menyangkal, kehadiran Gelombang Baharu Pemasaran adalah satu perubahan ketara yang mengubah kaedah dan cara hidup individu seperti perkembangan internet sebagai platform media komunikasi yang mengubah cara-cara pemasaran, meninggalkan pengamal media tradisional serta menjadikan pasaran lebih rata dan luas.
Dunia perniagaan hari ini harus melihat bahawa kehadiran pembaharuan dalam bidang teknologi akan mewujudkan banyak model perniagaan dan kaedah pemasaran baharu. Satu masa dahulu, siapa yang terfikir akan wujudnya sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan hotel tanpa memiliki hotel, begitu juga sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan teksi tetapi tidak memiliki kenderaan.
Bagaimanapun, kini ia menjadi kenyataan. Kedua-dua model perniagaan ini hanya menyediakan platform yang menemukan penjual dengan pembeli dalam aplikasi digital dan ini menunjukkan mereka hanya memperdagangkan maklumat.
Dunia perniagaan yang melibatkan aktiviti pemasaran pada era ekonomi digital ini banyak memerlukan penyesuaian terhadap kehidupan para pelanggan. Ia perlu dilakukan agar sesuatu model perniagaan itu menepati cara kehidupan moden pengguna hari ini.
Jika diteliti, kebanyakan syarikat yang beroperasi secara global mula menerapkan konsep pemasaran baharu yang membawa gelombang atau trend baharu dunia pemasaran untuk menghadapi kemajuan dan perkembangan pasaran yang semakin dinamik.
Perkembangan ini merupakan satu keperluan agar sesebuah organisasi perniagaan itu dapat beroperasi pada aras terbaik dan memberikan impak yang nyata ke atas sesebuah masyarakat.
Bagi memastikan sesuatu produk itu dapat menembusi pasaran, tentu saja terdapat pelbagai macam cara dan model perniagaan baharu yang akan diperkenalkan melalui platform digital agar dapat mewujudkan hubungan pelanggan yang lebih rapat seterusnya memperoleh peluang perniagaan baharu.
Walaupun penggunaan strategi-strategi baharu melalui gelombang baharu pemasaran ini semakin mendapat sambutan, ia tidak bermakna strategi atau kaedah pemasaran secara offline perlu dilupakan. Jika kita teliti, kebanyakan strategi baharu pemasaran yang diperkenalkan hari ini masih disokong kukuh oleh teori pemasaran terdahulu. Hanya beberapa kaedah dan cara lama ini diberi nafas baharu dengan kehadiran platform digital.
Evolusi
Jika melihatkan pembaharuan dalam gelombang pemasaran ini, ia memerlukan penyediaan tenaga kerja bagi menyokong kemajuan ini. Sesetengah universiti dan institusi pendidikan tinggi yang menawarkan bidang pengajian pemasaran mula mengorak langkah agar mereka benar-benar dapat menyediakan bakal tenaga kerja yang berkebolehan dan berkualiti dalam bidang ini.
Antara langkah yang di lakukan ialah institusi-institusi pengajian tinggi yang menawarkan pengajian dalam bidang ini telah mengemas kini silibus dan pelan pengajian mereka agar menawarkan program yang seiring dengan perkembangan industri.
Di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan yang menawarkan jurusan pemasaran melalui Pusat Pengajian Pemasaran dan Keusahawanan telah memastikan pelan pengajian yang ditawarkan adalah seiring dengan beberapa institusi profesional dalam bidang tersebut.
Contohnya, Chartered Institute of Marketing di Britain untuk memastikan bakal tenaga kerja yang mereka tawarkan menepati standard industri. Ini membolehkan para pelajar daripada bidang ini dapat terus menduduki peperiksaan badan profesional itu pada akhir program pengajian mereka, sekali gus menjadi tenaga kerja profesional.
Dengan adanya langkah-langkah ke hadapan seperti ini, maka ledakan gelombang baharu dunia pemasaran yang menjadi teras ekonomi digital akan lebih mudah dijayakan.
0 comments:
Post a Comment