Persatuan Bolasepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) meminta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berlaku adil untuk membuat semakan semula ke atas semua pemain yang beraksi meskipun digantung perlawanan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Menurut Setiausaha Kehormat PDRM FA Asisten Komisioner (ACP) Zulkefly Yahya, pihaknya masih keliru dengan tindakan badan induk itu yang memberikan kemenangan percuma kepada Pahang sedangkan situasi yang mereka hadapi sama.
“Kami sudah membuat bantahan rasmi kepada FAM pada hari Pahang diberikan mata percuma (20 Oktober) namun mereka menggunakan alasan bahawa, Pahang mengikut prosedur yang betul meminta FAM menyemak status pemain Kedah yang digantung dan bukannya bantahan.
“Mereka menjelaskan tempoh untuk membuat semakan berdasarkan peraturan FIFA selama dua tahun dan hanya bantahan yang boleh dibuat dalam tempoh 72 jam. Jadi kami meminta FAM untuk membuat semakan ke atas semua pemain untuk berlaku adil, tapi hingga kini kami belum menerima apa-apa jawapan,” katanya ketika dihubungi media semalam.
Kontroversi timbul apabila Jawatankuasa Tatatertib FAM menghadiahkan Pahang tiga mata dan kemenangan percuma 3-0 ke atas Kedah selepas pasukan lawan itu menurunkan Rizal Ghazali yang digantung perlawanan selepas mengutip tiga kad kuning dalam aksi Liga Super pada 3 Ogos lalu.
Keputusan yang dibuat kira-kira dua bulan selepas perlawanan itu cukup bermakna buat Pahang apabila berjaya menyelamatkan diri daripada tersingkir ke Liga Perdana musim depan.
PDRM selepas itu turut mengemukakan bantahan selepas timbul dakwaan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) menurunkan Juan Martin Lucero yang tidak layak beraksi kerana mengumpul tiga kad kuning ketika mereka tumpas 0-4 di Larkin, 16 Ogos lalu.
“Kami meminta FAM membuat semakan bukan kepada kes-kes tertentu saja, tapi semua perlawanan. Kami tidak kisah jika tidak mendapat tiga mata, tapi Pahang juga tidak layak mendapat tiga mata, baru adil,” katanya.
Jika PDRM diberikan tiga mata percuma, skuad Fauzi Pilus itu akan mengumpul 24 mata dan akan terselamat daripada tersingkir ke Liga Perdana manakala malang buat Pulau Pinang yang terpaksa mengikuti Terengganu dalam kelompok dua pasukan terbawah liga.
0 comments:
Post a Comment