My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday 21 December 2017

    Jibam Bukan Sekadar Naskhah Biasa

     

    JIKA sebelum ini filem Malaysia banyak dihasilkan daripada adaptasi novel penulis terkenal negara, namun sedikit kelainan untuk sebuah filem berjudul Jibam yang diadaptasi daripada novel tulisan kartunis legenda, Ibrahim Anon atau Ujang. 

    Filem yang telah pun memasuki pawagam sejak 7 Disember itu memberi banyak kesedaran tentang kehidupan bermasyarakat dan sesuai diangkat sebagai bahan tontonan untuk semua peringkat umur. 

    Tidak perlu menjual naskhah yang mempertaruhkan bakat cantik atau kacak sebagai teraju utama, sebaliknya Jibam berkisar tentang kisah seorang kanak-kanak istimewa yang dilakonkan oleh pelakon Muhammad Ariff Abdullah, 12 tahun.

    Dilahirkan tidak sempurna kerana lembam, Jibam sebenarnya mempunyai keupayaan mengubati penyakit yang diwarisi daripada kebolehan arwah bapanya, Suman (Esma Daniel).

    Selain kekurangan itu, Jibam turut mempunyai tabiat yang agak pelik daripada kanak-kanak normal lain apabila gemar berjalan mengelilingi kampung dengan menyeret tin-tin kosong yang diikat pada pinggangnya selain suka bermain katak.

    Kenakalan dan sikap lurus bendulnya telah menimbulkan pelbagai masalah terhadap penduduk kampung sehingga Tok Ngah Sudin (Bohari Ibrahim) menyimpan dendam dengannya.

    Risiko 

    Jalan cerita filem Jibam berkisar di sebuah kampung dengan lakaran sinematografi yang cantik di Sungai Lembing, Pahang melatari pemandangan sempurna untuk filem ini kerana memaparkan kawasan pedalaman yang baharu beberapa tahun diteroka.

    Suasana kehidupan di sebuah kampung dilakar dengan jelas apabila rumah penduduk tiada bekalan air dan elektrik, hanya bergantung kepada pelita tanah selain perkakas dapur menggunakan kayu api. 

    Apa yang pasti, penonton terbuai dengan kenakalan dan sikap bersahaja Ariff dalam filem ini dan pertaruhan pengarah dengan mengambilnya selaku teraju utama biarpun tiada pengalaman (Ariff terlebih dahulu memulakan karier lakonannya menerusi filem ini sebelum popular dengan drama 7 Hari Mencintaiku) adalah satu risiko yang berani.

    Cuma kadangkala lontaran suara Ariff ada kedengaran tidak jelas kerana sedikit menjerit dan gaya percakapan laju menyukarkan penonton memahami apa yang cuba disampaikannya.

    Walaupun jalan cerita diikut daripada tulisan novel tetapi ia tetap mempunyai sedikit kelonggaran daripada beberapa aspek seperti watak salah seorang abang Jibam iaitu Fakir (Fadlan Hazim) yang tidak terlalu didedahkan dalam filem ini.

    Jika dinilai dengan lebih dekat, filem Jibam sarat dengan nilai kemanusiaan yang cuba ditonjolkan dari sisi kisah seorang kanak-kanak. Perkara utama adalah sikap masyarakat yang terlalu percaya kepada perkara tahyul.

    Perkara ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat yang hidup di kawasan kampung, namun ironinya ia tetap dipercayai meskipun dalam kelompok masyarakat yang hidup dalam dunia serba moden pada masa kini.

    Pendek kata, filem Jibam yang sarat dengan kritikan sosial menyuntik elemen kesedaran tentang betapa pentingnya kasih sayang dan kesepakatan dalam kelompok masyarakat yang hidup dalam satu kawasan sama. Jika anda peminat filem kemanusiaan, Jibamlah jawapannya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Jibam Bukan Sekadar Naskhah Biasa Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top