“Saya cuma fikir mahu selamatkan diri dan anak selepas melihat arus deras sungai bercampur lumpur mula menghakis tebing sebelum meranapkan rumah kami.”
Begitu kata Ferding Asmawil, 51, yang kehilangan rumahnya di Kampung Pampang di sini, selepas dihanyutkan arus deras Sungai Pampang dalam kejadian banjir kilat, kelmarin. Dalam kejadian jam 3 petang, sebanyak 10 rumah penduduk dihanyutkan arus sungai yang bertukar deras dan naik mendadak dipercayai akibat hujan lebat di bahagian hulu sungai.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan selepas semua penghuninya sempat menyelamatkan diri. Menurut Ferding, apa yang merisaukannya ketika itu adalah pengalaman pahit ribut Tropika Greg kira-kira 21 tahun lalu yang mengorbankan 238 nyawa dan 102 orang hilang, berulang.
Katanya, selepas menyedari arus deras menghakis tebing sungai dan menyebabkannya runtuh, dia segera mengarahkan semua anaknya berusia setahun hingga 20 tahun keluar dari rumah.
“Saya menyuruh semua ahli keluarga pergi ke bukit yang terletak tidak jauh dari rumah, tetapi panik apabila menyedari seorang lagi anak perempuan tidak kelihatan. Saya terus berlari balik ke rumah sebelum menemui anak saya itu masih tidur di dalam bilik.
“Berikutan itu saya terus mendukungnya dan keluar ke tempat selamat. Selepas beberapa ketika, rumah kami terus runtuh sebelum dihanyutkan arus deras,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Katanya, dia bersama ahli keluarganya hanya mampu menyelamatkan beberapa barangan seperti pakaian serta kelengkapan rumah dan kini terpaksa menumpang di rumah jiran.
Mangsa lain, Umar Tahir, 63, berkata, kejadian itu hampir sama seperti tragedi ribut Tropika Greg yang membadai daerah itu pada 26 Disember 1996. Katanya, dia mendapati arus Sungai Pampang yang kebiasaannya jernih dan tenang berubah menjadi keruh dan menghanyutkan sisa kayu serta lumpur sehingga menghakis tebing sungai.
“Kami tiada pilihan selain keluar meninggalkan rumah untuk pergi ke tempat selamat. Seluruh bilik tidur dan ruang tamu rumah kami sudah dihanyutkan air sungai…kini apa yang tinggal hanyalah bahagian dapur.
“Saya baru saja membina rumah di kawasan ini kira-kira tujuh bulan lalu. Tidak sangka rumah kami sekali lagi dihanyutkan arus akibat kejadian ini,” katanya.
Umar yang juga pekerja di kilang kayu berkata, mereka langsung tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku, lebih-lebih lagi tebing asal Sungai Pampang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya.
0 comments:
Post a Comment