Puluhan tahun aktres jelita ini menghabiskan masa ‘dipertontonkan’ di depan umum. Siapa sangka, Julia Roberts sebenarnya malu tatkala diminta berinteraksi secara bersemuka dengan peminatnya. Pelakon yang kembali muncul dengan filem berjudul Wonder bergandingan dengan Owen Wilson menafikan dia mengelak bertemu mereka kerana bencikan peminat.
“Tidak benci lah! Cuma saya cuba untuk elak bersemuka dengan mereka. Saya tidak berasa saya sebagus artis lain apabila berinteraksi dengan peminat. Memang begini saya sejak dulu. Mungkin sebab saya mempunyai perasaan malu yang saya sendiri tidak sedar,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon yang baru saja menjengah usia 50 tahun pada 28 Oktober lalu bersyukur dapat meraikannya bersama tiga anaknya, si kembar Hazel dan Phinnaeus, 12, dan bongsu, Henry, 10. Apatah lagi dia dan suaminya, Daniel Moder berada di luar kawasan atas urusan kerja dan tidak menyangka anak-anaknya sanggup memberikan kejutan itu.
“Saya diberi kejutan istimewa oleh tiga anak. Saya dan suami ada lawatan ke San Francisco. Saya agak sedih sebab tidak dapat bersama mereka pada hari itu. Kemudian kami ke sebuah kedai dan suami meminta saya masuk ke dalamnya. Sebaik saja melihat sekeliling dalam kedai, saya nampak mereka,” katanya.
Julia menganggap hari itu sebagai hari yang indah buatnya kerana dapat meluangkan masa bersama keluarga. Katanya, kebahagiaan baginya adalah apabila dapat bersama keluarga. Walau apa pun yang dilakukan, selagi dia dapat bersama mereka, itu lebih penting.
Dalam pada itu, aktres yang cukup dikenali melalui filem Pretty Woman ini mengakui terganggu dengan soalan berkaitan perasaannya tatkala usia kini mencecah 50 tahun. “Saya tidak pasti George Clooney turut dapat soalan sama. Mungkin saya kena tanya dia juga!” katanya secara sinis.
Apa sekalipun dia tetap gembira dengan sambutan hari lahirnya itu. Biarpun hebat dalam filem Notting Hill, My Best Friend’s Wedding, Erin Brockovich, Steel Magnolias, The Pelican Brief, Ocean’s Eleven dan terbaru Wonder, Julia akui anak-anaknya lebih berminat menonton filem animasi Cars 3 berbanding filem ibu mereka sendiri.
0 comments:
Post a Comment