My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 11 December 2017

    SIC Belum Ada Kata Putus



    LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) masih belum membuat keputusan muktamad berhubung kedudukan pelumba Formula 2 (F2) negara, Nabil Jeffri, musim depan. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Razlan Razali berkata pihaknya masih mengkaji hala tuju Nabil berikutan prestasinya yang kurang menggalakkan berbanding sasaran ditetapkan SIC. 

    Bagaimanapun, Razlan berkata pihaknya merancang untuk memasukkan nama Nabil sebagai sebahagian daripada pelan induk pembangunan sukan permotoran empat roda yang bakal diumumkan oleh SIC tidak lama lagi.

    Katanya, tindakan itu perlu kerana matlamat pelan induk sukan permotoran empat roda adalah berbeza jika dibandingkan dengan dua roda (motosikal) yang bertujuan untuk meletakkan pelumba muda negara sebagai juara dunia MotoGP.

    “Sebab itulah kita sedang menyiapkan satu kertas kerja untuk menubuhkan satu pasukan berlumba di Siri Asia Le Mans kategori LMP3 di Sepang dan Buriram, Thailand, mulai tahun depan.

    “Justeru, kita sekarang sedang mempertimbangkan nama dua daripada tiga pelumba termasuk Nabil untuk mewakili SIC ke Siri Asia Le Mans nanti,” katanya yang memaklumkan tujuan utama SIC menyediakan pelan induk sukan permotoran empat roda adalah untuk membolehkan pelumba seperti Nabil mempunyai perjalanan kerjaya lebih cerah dan panjang di masa depan.

    Mengulas lanjut, Razlan berkata langkah itu perlu kerana SIC berharap ada pelumba Malaysia akan beraksi di perlumbaan 24 jam Le Mans suatu hari nanti.

    “Jika seseorang pelumba Malaysia berjaya menamatkan saingan sekurang-kurangnya tempat kelima di perlumbaan 24 jam Le Mans pun mereka akan menarik banyak penaja terutama pengeluar kereta terkemuka seperti Audi, Lamborghini, Mercedes dan sebagainya.

    “Langkah ini perlu kerana kita mensasarkan bahawa pasukan Malaysia dijangka beraksi pertama kali di perlumbaan 24 jam Le Mans di Perancis, pada 2019 nanti,” katanya.

    Sebelum ini, media melaporkan tajaan menjadi faktor penting buat Nabil bagi menentukan pembabitannya dalam saingan perlumbaan F2. Berikutan itu, Nabil sedang giat mencari tajaan untuk membolehkan dirinya meneruskan karier di F2 selepas menamatkan saingan di tangga ke-23 dengan mengumpul dua mata keseluruhan daripada 22 pusingan musim ini.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: SIC Belum Ada Kata Putus Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top