My Blog List

Translate

  • PANAS

    Sunday, 24 December 2017

    Tamat Riwayat Sendiri



    Kebelakangan ini kita sering dipaparkan berita mengenai kes bunuh diri yang bukan hanya dalam kalangan orang dewasa tetapi juga kanak-kanak. Kemurungan dikatakan antara salah satu penyakit psikiatri menyebabkan gejala tidak sihat ini dilihat semakin meningkat setiap tahun. 

    Masalah kemurungan dalam kalangan penduduk global juga kian membimbangkan apabila laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan jumlah individu yang mengalaminya meningkat 18 peratus antara 2005 hingga 2015. Di Malaysia, dianggarkan empat daripada 10 penduduk mengalami masalah kesihatan mental, termasuk kemurungan akibat tekanan hidup.

    Perunding Psikiatri Pusat Perubatan Tropicana (TMC) Dr Gurdeep Grewall berkata, bunuh diri adalah perbuatan untuk menamatkan atau menghilangkan nyawa diri sendiri. Katanya, ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara iaitu secara fizikal luaran, dalaman atau kedua-duanya sekali. 

    “Bunuh diri adalah perbuatan dengan niat untuk menamatkan riwayat atau nyawa. Apabila perbuatan itu gagal, ia dipanggil cubaan membunuh diri. Kadar membunuh diri berbeza mengikut negara, bangsa dan budaya. Dulu kes bunuh diri adalah terpencil dan hanya dalam kalangan warga emas dan orang dewasa.

    “Tetapi kini ia sudah ‘berjangkit’ pada kanak-kanak dan remaja. Trend itu semakin berlanjutan apabila setiap hari kita ‘dihidangkan’ dengan kes bunuh diri sama ada menerusi media sosial atau akhbar,” katanya.

    Menurutnya, ada banyak faktor menyebabkan seseorang cenderung untuk bunuh diri. Jelasnya, penyakit mental yang serius seperti kemurungan, skizofrenia dan bipolar juga menyumbang kepada timbul keinginan menamatkan riwayat sendiri.

    Faktor mendorong seseorang membunuh diri termasuk mempunyai penyakit fizikal (contohnya barah), tiada sokongan keluarga, penyakit bipolar, skizofrenia, kemurungan, kematian mereka yang disayangi dan kesepian.

    “Orang ramai sering menganggap nota atau kenyataan seseorang yang mahu membunuh diri sebagai gurauan dan tindakan itu sebenarnya menguatkan lagi hasrat individu terbabit untuk menamatkan riwayat hidupnya.

    “Seseorang individu mungkin nampak ceria, tetapi penilaian secara klinikal boleh mendedahkan sama ada seseorang itu tertekan atau mempunyai sejarah kemurungan. Antara tanda seseorang mempunyai potensi untuk membunuh diri ialah hilang tumpuan, berat badan merosot dan tiada selera makan.

    “Justeru, kepekaan orang ramai untuk mengenal pasti kalangan yang rapat dengan mereka mempunyai keinginan untuk membunuh diri amat penting,” katanya.

    Fenomena bunuh diri di Malaysia kini didapati menyamai trend bunuh diri di Amerika Syarikat. WHO mendapati setiap tahun, satu juta orang meninggal dunia kerana membunuh diri dengan anggaran purata sebanyak 3,000 kejadian setiap hari.

    Berkaitan dengan itu, pungutan data Pusat Registri Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia mendapati sekurang-kurangnya dua orang membunuh diri setiap hari dengan kadar purata 60 orang dalam sebulan. Tambah Gurdeep, dalam kebanyakan kes bunuh diri, ia berlaku akibat ketidakmampuan individu menghadapi tekanan hidup yang dialami.

    Mereka berasakan meneruskan kehidupan bukan idea yang baik, sebaliknya lebih menambah kesengsaraan. Justeru, bunuh diri dilihat sebagai jalan terakhir untuk menyelesaikan masalah mereka. Ada juga kes yang mana individu itu berasakan diri mereka disisihkan, berasa sunyi dan tidak dipedulikan, serta kecewa dan dihantui masalah kemurungan.

    “Orang ramai diminta peka terhadap sejarah keluarga, simptom kemurungan seperti tidak mempunyai harapan, penyalahgunaan dadah, mereka yang pernah cuba bunuh diri dan sebagainya.

    “Dari segi psikologi, kajian menunjukkan gejala membunuh diri bermula apabila seseorang itu mengalami kemurungan melampau disebabkan beberapa faktor tadi serta tekanan kerja dan sebagainya,” katanya.

    Kemurungan yang tidak dirawat boleh menyebabkan golongan terbabit hilang pertimbangan akal dan besar kemungkinan mencetuskan idea untuk membunuh diri. Paling membimbangkan, kes bunuh diri yang sebelum ini boleh dikatakan jarang berlaku dalam kalangan umat Islam tetapi sejak akhir-akhir ini, sudah mula menular.

    Gejala bunuh diri juga sering berlaku pada mereka yang sering menjadi mangsa buli dan keganasan. Terdapat juga kes lain yang turut menjadi penyumbang gejala bunuh diri seperti beban hutang, tekanan belajar dan sebagainya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Tamat Riwayat Sendiri Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top