“Kami sudah letih mengemas rumah setiap kali selepas banjir,” kata Stoh Satong, 68, penduduk Kampung Marajah, di sini, antara kawasan yang dilanda banjir di Kota Belud, baru-baru ini.
Menurutnya, dia dan lima ahli keluarganya yang sebelum ini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masyarakat Tun Said, sejak 12 Disember lalu, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, semalam.
Bagaimanpun sebaik tiba di rumah, dia bingung apabila melihat keadaan rumah yang kotor dengan kesan lumpur banjir dan perabot berselerak.
“Ketika di PPS, saya tidak dapat tidur memikirkan keadaan rumah. Kami juga takut, jika rumah dimasuki pencuri. Sebaik membuka pintu depan rumah, alangkah terkejutnya apabila melihat ada lipan dan pelbagai serangga di ruang tamu.
“Keadaan di dalam rumah amat memeningkan kepala. Kebanyakan perabot rosak dan tidak dapat digunakan lagi kerana terkena banjir,” katanya.
Stoh yang menyara hidup dengan bekerja sebagai nelayan dan mengambil upah kerja kampung berkata, dia menganggarkan mengalami kerugian RM5,000. “Sedih apabila melihat anak mengangkat perabot yang yang rosak untuk dibuang, manakala cucu pula membantu membersihkan rumah termasuk mencuci tingkap dan lantai,” katanya.
0 comments:
Post a Comment