Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam menggesa dunia agar mengiktiraf Baitulmuqaddis Timur yang dijajah Israel sebagai ‘ibu negara Palestin’, manakala pemimpin Palestin, Mahmoud Abbas memberi amaran keamanan tidak akan wujud di Asia Barat selagi langkah seumpamanya tidak diambil.
Erdogan merasmikan sidang tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul semalam, bertujuan untuk menggembleng sokongan pemimpin-pemimpin Islam ke arah tindak balas bersama bagi menentang langkah Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.
Mahmoud memberi amaran bahawa AS kehilangan peranannya sebagai orang tengah dalam proses damai Israel-Palestin susulan pengiktirafan oleh Presiden Donald Trump itu. Erdogan pula menganggap Israel sebagai negara ‘penjajah’ dan ‘pengganas’.
“Keputusan ini memberikan ganjaran kepada Israel atas semua aktiviti keganasan yang dilakukannya. Lebih teruk lagi, pengiktirafan ini diberikan oleh Trump sendiri.
“Saya menjemput semua negara yang menghargai undang-undang dan keadilan antarabangsa supaya mengiktiraf Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin,” kata Erdogan sambil menambah, negara-negara Islam tidak akan berputus asa untuk merealisasikan tuntutan itu.
Mahmoud pula mengutuk pengiktirafan kontroversi Trump itu sebagai hadiah kepada ‘pergerakan Zionis’ dan menegaskan bahawa Washington tidak lagi mempunyai sebarang peranan dalam proses damai di Asia Barat.
“Kami tidak menerima sebarang peranan AS dalam proses politik bermula dari hari ini kerana Washington bersikap berat sebelah dan memihak kepada Israel,” katanya.
Di Arab Saudi, Raja Salman senada dengan Erdogan bahawa penduduk Palestin berhak ke atas Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota mereka. “Arab Saudi menggesa hak penduduk Palestin termasuk hak mereka untuk menubuhkan negara sendiri yang merdeka dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota dikembalikan,” kata baginda.
Erdogan yang mana negaranya menjadi pengerusi OIC mengikut giliran, berharap dapat menyatupadukan pemimpin-pemimpin Islam yang sering bertelagah supaya dapat mengeluarkan satu konsensus yang tegas bagi membantah langkah Trump itu.
0 comments:
Post a Comment