My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 26 December 2017

    Karya Tempatan Terbaik 2017



    Selain filem antarabangsa, filem tempatan turut menarik penonton ke pawagam. Berdasarkan laman web Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), 57 filem diterbitkan tahun ini dengan beberapa daripadanya masih dalam tayangan. 

    Berdasarkan senarai itu, ada filem mendapat sambutan dan ada juga yang gagal. Malah, ada filem yang cuma mencatat kutipan di bawah RM5,000. Berikut 10 filem tempatan terbaik bagi tahun ini. 


    1. Abang Long Fadil 2 (RM18.1 juta) 

    Filem arahan Skop Productions Sdn Bhd ini berjaya memecah rekod jualan tiket tertinggi yang sebelum ini dipegang Polis Evo. Sekuel kedua arahan Syafiq Yusof ini meneruskan kisah Fadil terbabit dalam dunia mafia yang diketuai Taji Samprit dan Wak Doyok. Ia dibintangi Zizan Razak, Syamsul Yusof, Shuib, Datuk AC Mizal, Achey, A Galak dan Wak Doyok.



    2. Tombiruo: Penunggu Rimba (RM7.9 juta)

    Menampilkan Zul Ariffin, Nabila Huda, Datuk M Nasir dan Datuk Farid Kamil, filem ini diadaptasikan dari novel karya Ramlee Awang Murshid. Filem mengisahkan mengenai Ejim yang digeruni kerana mempunyai kuasa luar biasa dan digelar Tombiruo kerana mempunyai wajah cacat. Diarahkan oleh Seth Larney, filem aksi ini dipaparkan dalam bahasa Kadazan Dusun.



    3. J Revolusi (RM7.1 juta) 

    Filem ini terbitan Primeworks Studios dan Infinitus Entertainment, milik Datuk Sri Robin Tan bersama pelakon hebat Hong Kong, Andy Lau. J Revolusi menelan bajet RM3 juta dan turut mendapat kerjasama dua pengarah pengalaman dari Hong Kong. Karya arahan Mohd Zulkarnain Mohd Azhar ini menampilkan pelakon Zul Ariffin, Izara Aishah, Datuk Farid Kamil dan Datuk Hans Isaac.



    4. The Kid From The Big Apple: Before We Forget (RM4.1 juta) 

    Karya mengetengahkan hubungan kekeluargaan ini diarahkan oleh Jess Teong yang juga penulis skrip. Masih dalam tayangan, filem dalam bahasa Mandarin ini mengisahkan bagaimana Sarah berusaha mengelak datuknya daripada penyakit demensia.

    Terdapat banyak babak sedih yang menyentuh hati penonton dan filem ini masih ditayangkan. Barisan pelakon adalah Tommy Tam, Tan Qin Lin, Debbie Goh, Shaun Tam.



    5. Bisik Pada Langit (RM2.4 juta) 

    Ia mengangkat tema kekeluargaan dibarisi pelakon Jalil Hamid, Ummi Nazeera, Beto Kusyairy dan Erwin Dawson. Bisik Pada Langit mempunyai jalan cerita kuat dan formula tersendiri membuatkan filem ini mampu bersaing dengan filem lain. Filem berkenaan diarahkan Kabir Bhatia manakala penulis skrip Maizura Ederis.



    6. Pinjamkan Hatiku (RM1.7 juta) 

    Pada awal tayangan, filem ini menjadi mangsa jenayah siber apabila dirakam secara langsung menerusi Facebook dari pawagam. Bagaimanapun, kesalahan itu tidak menjejaskan kutipan jualan tiket dan jumlah itu dijangka meningkat lagi kerana masih dalam tayangan.

    Ia mengisahkan seorang gadis yang dalam dilema antara cinta lama di kampung dan doktor yang pernah merawatnya. Filem arahan Osman Ali ini menampilkan lakonan Ayda Jebat, Shaheizy Sam, Datuk Farid Kamil, Lia Natalia dan ramai lagi sebagai bintang utama.



    7. You Mean The World To Me (RM1.3 juta) 

    Karya ini berdasarkan pementasan dibuat pengarah Saw Teong Hin dua tahun lalu. Membanggakan, ini filem tempatan pertama yang meng­gunakan bahasa Hokkien Pulau Pinang. Mengisahkan keluarga Saw dan hubungan dengan ibunya, filem ini berjaya memenangi tiga anugerah di Festival Filem Malaysia ke-29 bagi kategori Filem Layar Terbaik, Muzik Skor Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik. 



    8. Love From Kampung (RM1.05 juta) 

    Dipaparkan dalam bahasa Kantonis, filem komedi ini mengisahkan sekumpulan rakan mengelak pulang ke kampung halaman setiap kali Tahun Baru Cina. Ibu bapa pemuda ini bertindak melawat anak mereka di ibu kota dengan harapan dapat menyambut perayaan itu bersama. Filem ini diarahkan oleh Silver dan menampilkan pelakon Jack Lim, Jeff Chin, Emily Chan.



    9. Kimchi Untuk Awak (RM873,583) 

    Ini filem pertama arahan pengarah drama terkenal Michael Ang. Menariknya, lokasi penggambaran filem dilakukan di Seoul dan Pulau Nami, Korea Selatan. Filem ini turut menampilkan barisan pelakon popular Jannah Nick, Sharifah Sakinah dan Dira Abu Zahar.

    Kimchi Untuk Awak mengisahkan pertemuan Bella dengan lelaki sombong berdarah Melayu Korea, Danial Lee di Lapangan Terbangan Incheon, Korea Selatan.



    10. Goodbye Mr Loser (RM801,250) 

    Filem ini diadaptasi dari filem popular China berjudul sama. Ia mengisahkan seorang lelaki yang secara tidak sengaja kembali ke masa lampau sebelum dia berkahwin dan melalui kehidupan sengsara. Dia kemudian cuba mengubah nasib dan berusaha mencapai impiannya. Filem ini diarahkan Adrian Teh manakala barisan pelakon adalah Ian Fang, Mei Sim, Anjoe Koh dan Jack Lim.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Karya Tempatan Terbaik 2017 Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top