Israel kini berhubung ‘dengan sekurang-kurangnya 10 buah negara’ yang dipercayai bersedia memindahkan kedutaan mereka ke Baitulmuqaddis selepas Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf kota suci itu sebagai ibu kota Israel, kata seorang timbalan menteri kelmarin.
“Kami sedang berhubung dengan sekurang-kurangnya 10 negara, sebahagiannya di Eropah untuk membincangkan langkah tersebut,” kata Timbalan Menteri Luar Israel, Tzipi Hotovely kepada sebuah stesen radio awam.
Beliau bercakap sehari selepas Guatemala mengesahkan bahawa ia akan memindahkan kedutaannya ke Baitulmuqaddis. Pemimpin-pemimpin Palestin mengecam tindakan negara Amerika Tengah tersebut sebagai ‘memalukan’.
Hotovely berkata, pengiktirafan oleh Presiden AS, Donald Trump itu akan mencetuskan ‘gelombang’ tindakan serupa oleh negara-negara lain. “Setakat ini, kami hanya menyaksikan permulaannya,” kata Hotovely lagi.
Beliau tidak mendedahkan nama negara-negara berkenaan tetapi stesen radio tersebut memetik sumber diplomatik Israel sebagai berkata, antaranya termasuk Honduras, Filipina, Romania dan Sudan Selatan.
Pada Khamis lalu, dua pertiga negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyokong resolusi menolak langkah kontroversi Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan mahu status kota suci itu diselesaikan melalui rundingan.
Israel merampas Baitulmuqaddis Timur semasa Perang Enam Hari pada 1967 dan menjajahnya dalam tindakan yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Pengumuman Trump pada 6 Disember lalu mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Tiada negara yang mempunyai kedutaan di Baitulmuqaddis. Sebaliknya, negara-negara dunia menempatkan kedutaan masing-masing di bandar komersial Israel, Tel Aviv.
0 comments:
Post a Comment