AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB), mengumumkan pengagihan pendapatan tujuh sen seunit dan bonus 0.25 sen seunit bagi tabung Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.
Pada masa sama, ASNB turut mengumumkan Bonus Khas Ulang Tahun PNB ke-40 sebanyak satu sen seunit untuk baki sehingga 10,000 unit pertama. Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, jumlah pengagihan sebanyak RM10.7 bilion akan dimanfaatkan oleh 9.1 juta pemegang unit yang memiliki lebih daripada 145.6 bilion unit ASB.
Beliau berkata, sebahagian besar pemegang unit, berjumlah kira-kira 7.5 juta dengan baki sehingga 10,000 unit akan mendapat pulangan efektif sebanyak 8.25 sen.
"Tahun ini banyak memberi impak positif kepada PNB dan memberi pulangan lebih tinggi bagi tabung utamanya disebabkan prestasi kewangan kukuh dan kejayaan inisiatif transformasi di bawah pelan STRIVE-15," katanya pada taklimat perkembangan suku tahun keempat dan pengumuman pengagihan pendapatan ASB, di sini hari ini.
Hadir sama Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad. Sementara itu, ASNB turut mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 3.65 sen seunit bagi tabung Amanah Saham Nasional (ASN) pada tahun kewangan yang sama.
Abdul Wahid berkata, jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM69.4 juta akan dimanfaatkan oleh 1.2 juta pemegang unit dengan 1.9 bilion unit dalam dana itu. Unit-unit yang dilaburkan semula dari dividen dan bonus akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2018 manakala Bonus Ulang Tahun Khas akan dikreditkan pada 1 Mac 2018.
0 comments:
Post a Comment