TAHUN 2017 menjadi sejarah buat arena sukan berbasikal tanah air selepas jaguh pecut negara, Azizulhasni Awang muncul sebagai satu-satunya pelumba pertama negara meraih gelaran juara dunia bagi acara keirin dalam saingan yang berlangsung di Hong Kong April lalu.
Terdahulu, jaguh yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman turut mencatatkan sejarah negara apabila meraih pingat gangsa pada temasya Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil yang juga pingat pertama bagi sukan berbasikal negara pada sukan terbesar dunia itu.
Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu bagaimanapun masih perlu berdepan ujian yang besar bagi mempertahankan gelaran juara dunia pada Februari tahun depan di Apeldoorn, Belanda. Malah misinya untuk menjadi pelumba negara pertama yang meraih emas di Olimpik masih tergantung dan perlu menunggu dua tahun lagi bagi merealisasi harapan tersebut di Tokyo, Jepun.
Menurut Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd. Wahab, Azizulhasni adalah pelumba luar biasa iaitu berbeza dengan pelumba-pelumba Asia yang lain. “Azizulhasni menang juara dunia ketika berumur 29 tahun.
Berdasarkan pengalaman saya, prestasi kebanyakan pelumba-pelumba di Asia ini biasanya akan turun ketika mereka mencecah usia 28 tahun ke atas. “Boleh saya katakan bahawa Azizulhasni adalah setanding dengan pelumba-pelumba di Eropah yang semakin hebat walaupun sudah berusia lebih 30 tahun.
Legenda berbasikal dunia, Chris Hoy sudah membuktikan kepada kita bahawa usia bukan penghalang untuk dia meraih emas di Olimpik. “Ini kerana ketika berusia 36 tahun, dia tetap berjaya meraih dua emas di Olimpik 2012 London masing-masing bagi acara keirin dan pecut berpasukan.
“Sekarang Azizulhasni berumur 29 tahun dan ketika berlangsung Sukan Olimpik 2020, umur dia akan mencecah 32 tahun. Saya yakin dia boleh merealisasikan cita-citanya sebelum bersara,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Sebagai rekod, selain kejayaan Azizulhasni di pentas dunia, skuad berbasikal negara turut cemerlang pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 Ogos lalu. Bagi acara trek, skuad negara berjaya meraih 11 pingat emas daripada 13 yang ditawarkan, manakala untuk disiplin lebuh raya, Malaysia meraih dua emas daripada lima acara yang dipertandingkan.
Pada tahun depan, skuad berbasikal trek negara sekali lagi berdepan tugas getir berikutan berlangsungnya dua temasya besar iaitu Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia pada April dan Sukan Asia Indonesia pada Ogos.
Di samping itu, skuad berbasikal yang turut dianggotai oleh pelumba muda terlebih dahulu akan diuji pada Kejuaraan Berbasikal Asia (ACC) 2018 di Velodrom Nasional Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan bermula Februari.
Jurulatih berbasikal trek negara, Junaidi Mohd. Nasir menjelaskan, terdapat lapan pelumba yang diketuai oleh Azizulhasni sedang mengerah keringat menjalani rutin latihan yang lasak di Melbourne, Australia bagi menghadapi semua kejohanan tersebut.
“Semua latihan di sini berjalan lancar. Semua pelumba ini menjalani latihan di bawah satu pasukan yang diketuai oleh Ketua Jurulatih, John Beasley. Latihan ini memfokuskan semua aspek bagi berhadapan dengan jadual yang padat tahun depan seperti Sukan Asia dan Komanwel.
“Sebenarnya bukan ACC yang kami fokus sebaliknya Sukan Asia kerana KPI (petunjuk prestasi utama) tertinggi di situ selain Sukan Komanwel. Pada masa sama, kami ada Kejuaraan Dunia dua minggu selepas ACC berlangsung,” katanya.
Lapan pelumba yang giat menjalani latihan di Melbourne ialah Azizulhasni, Fatehah Mustapa, Farina Shawati Mohd. Adnan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Kahiril Nizam Rasol, Mohd. Fadhil Mohd. Zonis, Mohamad Shariz Efendi Mohd. Shahrin serta Anis Amira Rosidi.
0 comments:
Post a Comment