My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 26 December 2017

    Sokongan Kuat Keluarga



    Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Begitu juga dengan minat yang perlu dipupuk sejak kecil agar bakat atau kemahiran yang dimiliki mampu dikembangkan ke peringkat lebih tinggi. Setiap anak mempunyai hobi tersendiri dan ada kalanya minat boleh dipupuk apabila didedahkan dengan aktiviti sama ada melalui ahli keluarga atau rakan sebaya. 

    Di sini galakan ibu bapa sangat penting untuk memberi ruang kepada anak mereka mengejar kejayaan dalam bidang diminati asalkan ia tidak menyalahi tata susila dan batasan agama.

    Pastinya, kehadiran ibu bapa di saat pertandingan berlangsung atau ketika menjalani latihan tertentu membantu meningkatkan semangat dan keyakinan mereka untuk berusaha menunjukkan kehebatan yang dimiliki.

    Begitu juga dengan remaja ini yang mengakui kepentingan sokongan, galakan dan kehadiran ibu bapanya dalam memberikan semangat setiap kali menyertai pertandingan ragbi bersama pasukannya. 

    Sukan lasak diminati Walaupun baru berusia 16 tahun, pemain ragbi pasukan Musketeers Ladies Victoria Wilayah Persekutuan Putrajaya Wan Noor Salsabella Wan Mohd Faizul sudah pun berminat menceburi sukan lasak itu. Biarpun baru berjinak-jinak dalam sukan berkenaan Ogos lalu, dia mengakui mengetahui permainan lasak itu daripada rakannya.

    Apabila mendapat sokongan dan galakan daripada keluarga, dia segera menyertainya. “Saya suka bermain ragbi kerana dapat memupuk semangat berpasukan. Misalnya, bermain ragbi dapat mengajar saya mengenai kepentingan bekerjasama untuk berjaya.

    “Melaluinya juga saya dapat memahami nilai bekerjasama dalam pasukan sedikit sebanyak memberi peluang mengenal diri dan mengetahui kelemahan sendiri. “Secara tidak langsung, melalui kekuatan masing-masing ia memberi banyak kebaikan bukan saja kepada diri tetapi pasukan yang disertai,” katanya.

    Walaupun baru menceburi sukan berkenaan, dia sudah pun merangkul kejayaan dan pencapaian yang baik bersama pasukannya. Antaranya, tempat pertama dalam pertandingan Fit Malaysia Challenge Games 2017, tempat kedua untuk pertandingan Penang 10s 2017 serta berpeluang menyertai pertandingan Friendly & Fixtures 2017.

    Baginya, bukan hanya gembira dan puas apabila dapat memenangi perlawanan yang disertai namun perkara lebih penting setiap ahli pasukan memberikan kerjasama yang baik dalam permainan. 

    “Setakat ini belum ada dalam keluarga yang membabitkan diri dalam sukan ragbi. Namun, bersyukur apabila keluarga sangat memahami dan menggalakkan saya menyertai aktiviti sihat ini. Malah, mereka turut serta berada di tepi padang apabila ada sebarang kejohanan atau perlawanan persahabatan bagi memberi sokongan dan semangat untuk saya beraksi lebih baik,” katanya.

    Walaupun sibuk belajar, dia tidak kisah meluangkan masa pada setiap Ahad bermula jam 8 pagi hingga 10 pagi untuk berlatih bersama jurulatih pasukan Musketeers, Mohd Nasir Zakaria.

    Anak kedua daripada tiga beradik ini menambah, disebabkan tiada ahli keluarga yang membabitkan diri dalam sukan itu, dia dianggap sebagai pencetus minat kepada permainan lasak itu kepada keluarganya.

    Harapannya agar semua usaha yang dilakukan dapat memberikannya satu cara menggunakan masa dengan lebih baik melalui aktiviti yang berfaedah di samping dapat menyertai pelbagai kejohanan yang dianjurkan di dalam atau luar negara.

    Malah, dia gembira apabila berpeluang mengenali rakan baru daripada pelbagai latar belakang, budaya dan keturunan kerana baginya menang atau kalah adalah adat pertandingan. Oleh itu, setiap pemain perlu menunjukkan sikap positif semasa menerima kemenangan atau kekalahan sesuai dengan semangat kesukanan yang diajar oleh jurulatih selain aspek fizikal dan pergerakan.

    Biarpun terkenal dengan jolokan panggilan ‘Salsabella the stringer’ kerana sentuhannya yang berbisa ketika menjatuhkan pihak lawan, Wan Noor Salsabella sentiasa mengingati pesan jurulatihnya agar bersikap terbuka, matang dan positif dalam menghadapi pelbagai situasi.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Sokongan Kuat Keluarga Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top